Isnin, 3 Disember 2018 | 7:20am
PEMAIN Liverpool, Divock Origi diasak pemain Everton, Yerry Mina pada aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Liverpool kekal 'Raja Merseyside'

LIVERPOOL: Gol pelik Divock Origi pada masa kecederaan menghadiahkan Liverpool kemenangan 1-0 ke atas Everton dalam pertemuan menarik tetangga Merseyside, awal pagi tadi.

Kemenangan menyaksikan Reds terus menghambat pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City tetapi perlawanan itu pasti mendapat perhatian oleh Persatuan Bolasepak Inggeris (FA) berikutan insiden yang berlaku di penghujung aksi.

Jurgen Klopp memohon maaf menerusi televisyen susulan keraian terhadap gol Origi - yang membuat penampilan sulung di Liga Perdana sejak Ogos 2017 dengan meledak gol pada minit ke-96.

Pengurus dari Jerman itu berlari ke tengah padang, melebihi bulatan tengah sebelum disertai staf kejurulatihan dan pemain-pemain gantian Reds bagi meraikan jaringan bersama pemain dan peminat.

Di satu lagi sudut di Anfield, peminat Everton melontarkan suar berwarna biru ke atas padang, satu lagi insiden yang dijangka akan berdepan tindakan daripada FA.


PEMAIN Liverpool, Mohamed Salah diasak pemain Everton Yerry Mina pada aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield, awal pagi tadi. - Foto EPA

Sekali pun Klopp mendakwa sudah memohon maaf kepada rakan sejawatnya, Marco Silva selepas perlawanan - dakwaan yang dinafikan oleh bos Everton itu, FA dijangka akan meneliti kembali insiden berkenaan.

“Sejurus selepas perlawanan saya meminta maaf kepada Marco Silva ketika kami bercakap,” kata Klopp. “Saya memberitahunya yang saya amat menghormati kerja yang dilakukannya.

“Apa yang saya boleh katakan mengenainya? Saya tidak mahu berlari. Ia tidak berada dalam rancangan saya. Saya tidak mahu berlari kepada Ali (Alisson), saya jelas tidak boleh berhenti. Ia tidak bagus, tetapi ia sudah berlaku.”

Silva menolak versi permohonan maaf Klopp dengan berkata: “Dia tidak meminta maaf kepada saya. Sejujur-jujurnya, saya tidak melihatnya jadi saya tidak tahu apa yang dia lakukan dan bagaimana dia lakukan.

“Saya fikir dia juga tidak menyangka (gol lewat) jadi ia adalah hari yang bertuah untuknya.” - AFP


PEMAIN Liverpool meraikan jaringan pasukan mereka dalam perlawanan menentang Everton pada aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Berita Harian X