Ahad, 2 Disember 2018 | 9:29am
PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Masih ada baki 90 minit - Hamidin

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan peluang buat Harimau Malaya melangkah ke final Piala AFF masih terbuka walaupun terpaksa mengharungi aksi separuh akhir kedua di Stadium Rajamangala, Rabu ini.

Harimau Malaya melepaskan peluang untuk membawa bekalan lebih selesa ke Bangkok selepas terikat tanpa jaringan dengan Thailand pada perlawanan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Sedar dengan reputasi besar Thailand selaku jaguh Asia Tenggara, Hamidin bagaimanapun tetap optimis betapa tiada yang mustahil buat Harimau Malaya melakar kejutan.

Beliau turut memberikan semangat kepada jurulatih, Tan Cheng Hoe dan barisan pemain untuk tidak terlalu kecewa, sebaliknya perlu kekal positif dan berjuang habis-habisan di Bangkok nanti.

"Buat ketua jurulatih Tan Cheng Hoe, para pemain skuad Harimau Malaya serta barisan kejurulatihan dan pegawai, teruskan berjuang bagi menghadapi perlawanan separuh akhir kedua di Bangkok.

"Meskipun kita mencatat keputusan seri 0-0 dan gagal meraih kemenangan pada aksi separuh akhir pertama di gelanggang sendiri, kita perlu kekal positif dan jangan terlalu kecewa, peluang masih terbuka.

"Kita harus terus fokus kerana masih ada baki 90 minit lagi untuk kita berjuang dalam memastikan Malaysia dapat melangkah ke pentas final pada 11 dan 15 Disember depan. Tiada yang mustahil dalam bola sepak," kata Hamidin.

Anak buah Cheng Hoe mempamerkan persembahan baik terutama pada babak pertama, namun jentera serangan tidak berjaya menyudahkan beberapa peluang terhidang.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia dan Thailand perlu membuat perhitungan pada aksi kedua di Stadium Rajamangala bagi menentukan pasukan mana yang akan mara ke final.

Selain itu, Hamidin turut berterima kasih kepada lebih 85,000 penyokong terutama Ultras Malaya yang sekali lagi membanjiri Stadium Nasional demi memberi sokongan padu buat skuad bola sepak negara.

"Tidak dilupakan juga buat seluruh rakyat Malaysia yang sama-sama menonton menerusi siaran langsung di televisyen dan sentiasa mendoakan kejayaan Harimau Malaya sepanjang kempen Piala AFF 2018 ini," katanya.

Berita Harian X