Jumaat, 30 November 2018 | 7:08pm
PENGENDALI Thailand, Milovan Rajevac. - Foto Saifullizan Tamadi
PENGENDALI Thailand, Milovan Rajevac. - Foto Saifullizan Tamadi

Thailand dedah misi di Bukit Jalil

KUALA LUMPUR: Ketika skuad bola sepak negara menyusun strategi untuk mempertahankan kubu daripada dibolosi, lain pula sasaran yang diletakkan pengendali Thailand, Milovan Rajevac.

Rajevac menuntut anak buahnya menyumbat seberapa banyak gol pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok sebagai bekalan untuk dibawa ke Bangkok.

Beliau menjelaskan jaringan tempat lawan sangat penting dalam memastikan tugas lebih mudah dapat dilaksanakan skuad Gajah Perang pada aksi kedua di Stadium Rajamangala, Rabu nanti.

“Esok adalah masa pertama (separuh akhir) dan separuh masa kedua akan berlangsung di Bangkok. Tapi paling penting kami perlu jaringkan gol (di Bukit Jalil).

“Kami tidak mahu keputusan negatif dan jaringan sangat penting bila anda beraksi di gelanggang lawan,” katanya pada sidang media di Stadium Nasional, hari ini.

“Kami perlu bermain sebagai satu pasukan dan saya yakin pemain saya mampu memberikan persembahan berkualiti serta mendapatkan keputusan positif.”

Thailand bakal turun dengan reputasi lebih baik berbanding Harimau Malaya berdasarkan status mereka selaku jaguh Asia Tenggara dan juara bertahan Piala AFF.

Namun, Gajah Perang mempunyai rekod kurang memberangsangkan di Bukit Jalil dan pada pertemuan terakhir di final Piala AFF 2014, mereka tewas 2-3 kepada Harimau Malaya.

Namun kemenangan 2-0 pada aksi final pertama di Bangkok menyaksikan mereka berjaya merangkul trofi kejuaraan dengan agregat 4-3.

Selain itu, Rajevac tidak menafikan barisan pemainnya perlu menyerap segala tekanan khususnya daripada puluhan ribu penyokong Harimau Malaya yang akan membanjiri stadium.

“Saya fikir sokongan padu penyokong Malaysia juga membantu mereka meraih kemenangan 3-0 ke atas Myanmar sebelum ini.

“Seperti yang saya katakan, kami beraksi dengan baik di gelanggang sendiri dan tempat lawan. Stadium ini (Bukit Jalil) juga menarik dengan sokongan peminat yang sangat cintakan bola sepak.

“Ia akan menyumbang kepada aksi lebih baik di atas padang. Kami sudah lama tidak menang di sini, dan kami akan lakukannya esok,” katanya.

Berita Harian X