X
Khamis, 29 November 2018 | 5:10pm
NIK Intan Syazaa Syahirra Nik Wan
NIK Intan Syazaa Syahirra Nik Wan

Pesanan Syazaa Syahirra kepada Harimau Malaya 

*Apa kata penyokong Harimau Malaya 

BIARPUN hampir seminggu berlalu, namun terasa bagaikan semalam rakyat Malaysia bersorak meraikan kejayaan manis Harimau Malaya menundukkan Myanmar 3-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Perasaan bercampur antara gembira dan bangga menyebabkan saya terasa rindu serta tidak sabar menunggu Sabtu ini untuk sekali lagi melihat pasukan kebangsaan mencipta sejarah di stadium keramat itu.

Bukan mudah, tapi dengan semangat juang yang tinggi dimiliki semua pemain, saya fikir tiada yang mustahil dapat dicapai apatah lagi untuk menundukkan pasukan Thailand.

Memang Thailand turun dengan reputasi sebagai jaguh Asia Tenggara, tapi ingatlah wahai skuad Gajah Perang, ini adalah 'kandang' Harimau Malaya.

Jadi, saya percaya semua pemain pasti tidak rela untuk menghampakan harapan tinggi yang diletakkan ke atas bahu mereka dengan lebih 80,000 penyokong sekali lagi akan membanjiri Stadium Nasional.

Kepada pemain Harimau Malaya, seraplah semangat saya dan penyokong lain dan satukan ia diatas padang untuk mencipta keputusan yang positif buat pasukan dan seluruh penyokong.

Saya tahu anda boleh, jika Thailand ada Adisak Kraisorn yang digeruni pasukan lawan, Malaysia juga ada Norshahrul Idlan Talaha, Mohamadou Sumareh dan Safawi Rasid yang berada pada prestasi terbaik.

Pemain lain juga tidak kurang hebatnya, bahkan boleh dikatakan setaraf dengan Thailand. Berikan aksi paling terbaik kerana saya yakin anda mampu tumbangkan Gajah Perang di Bukit Jalil.

Demi lencana di dada dan demi seluruh rakyat Malaysia, mengaumlah sekuat yang boleh Harimau Malaya. Tunjukkan kepada semua yang kita juga mampu menyaingi Thailand selaku pasukan pilihan di Piala AFF ini.

Usah difikirkan lagi soal badi dan status lawan, sedangkan rekod 44 tahun gagal mengalahkan gergasi Asia, Korea Selatan pun kita boleh leburkan di Sukan Asia, Ogos lalu.

Kekalkan fokus dan berikan komitmen paling terbaik sepanjang 90 minit perlawanan. Jangan gentar sedikit pun kerana doa kami sentiasa bersamamu Harimau Malaya.

*Nukilan Nik Intan Syazaa Syahirra Nik Wan (Peminat Tegar Harimau Malaya)

Berita Harian X