Khamis, 29 November 2018 | 8:02am
WAN Mohd Syazwan Wan Mohd Fadzelah penyokong Setia Harimau Malaya dan Pengerusi Kelab Lang Merah Fans Club (LMFC). - Foto LMFC
WAN Mohd Syazwan Wan Mohd Fadzelah penyokong Setia Harimau Malaya dan Pengerusi Kelab Lang Merah Fans Club (LMFC). - Foto LMFC

Berjuanglah bagai harimau kelaparan

BERJUANGLAH bagai harimau kelaparan dan rakus membaham mangsa!

Tiada apa diharapkan selain mahu melihat skuad Harimau Malaya kesayangan kami meraih kemenangan ke atas Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Lebih manis jika Harimau Malaya menang dengan jumlah jaringan besar terutama apabila beraksi di halaman sendiri.

Namun, kami tidak mahu terlalu meletakkan tekanan ke atas semua pemain kerana sedar status Thailand selaku jaguh Asia Tenggara.

Mereka boleh dikatakan memiliki skuad serba lengkap dan sempurna bermula daripada pertahanan, bahagian tengah dan jentera serangan.

Namun, harus diingat Harimau Malaya juga memiliki kekuatan tersendiri dengan gandingan pemain senior dan muda yang sudah terbukti boleh bekerjasama dengan baik di atas padang.

Sebenarnya kekuatan Harimau Malaya dan Gajah Perang ini tidak jauh beza, jadi tiada yang mustahil buat Malaysia meraih kemenangan.

Kami mahu Harimau Malaya mempamerkan satu permainan terbaik lebih daripada 100 peratus dan turun sebagai harimau yang rakus untuk membaham apa sahaja di depan mata.

Komitmen penyokong usah dirisaukan kerana kami sudah buktikan ketika berdepan Myanmar dengan jumlah 83,777 penonton hadir ke Bukit Jalil - rekod tertinggi kehadiran penyokong sepanjang Piala AFF kali ini.

Kehadiran puluhan ribu penyokong menjadi satu aura yang boleh melemahkan semangat lawan dan saya harap semua penyokong terutama di Lembah Klang sekali lagi akan membanjiri stadium.

Skuad lalu dengan skuad sekarang boleh saya katakan jauh berbeza dan persembahan Harimau Malaya juga tidak sama.

Cuma kami harap pemain tidak gugup, lupakan kekalahan dan kemenangan lalu, anggap ini sebagai pentas akhir, berjuanglah sebaik mungkin.

Usah takut pada Thailand kerana kami sentiasa berada di belakang anda wahai pejuang Harimau Malaya.

Kami akan buat mereka lebih gerun di Stadium Nasional Bukit Jalil, bukan saja untuk perlawanan ini, malah bagi aksi seterusnya di Stadium Rajamangala, Bangkok.

Berita Harian X