Selasa, 20 November 2018 | 8:34am
PERDANA Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez (kiri) dan rakan sejawatnya, Perdana Menteri Maghribi, Saad Eddine El Othmani pada sidang media bersama di Rabat, semalam. - Foto Reuters

Dua benua bergabung anjur Piala Dunia 2030

RABAT: Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez berkata, beliau mencadangkan supaya diadakan bidaan bersama oleh Sepanyol, Portugal dan Maghribi bagi menganjurkan Piala Dunia 2030.

"Saya membuat cadangan, pertama sekali kepada kerajaan dan kemudian Raja Mohammed VI untuk melancarkan permohonan bidaan secara bersama membabitkan Maghribi, Portugal dan Sepanyol untuk menganjurkan Piala Dunia 2030," kata Sanchez di Rabat selepas pertemuan dengan kerajaan monarki itu.

"Ia akan menjadi permohonan pertama kali membabitkan dua benua, dengan Eropah dan Afrika, dan Raja Mohammed VI menyambut baik cadangan itu."

Awal tahun ini, Raja Mohammed menitahkan Persekutuan Bola Sepak Diraja Maghribi untuk melancarkan bidaan Piala Dunia mereka sendiri, tetapi ketika AFP menghubungi pejabat Perdana Menteri, Saad Eddine el Othmani, mereka enggan mengulas lanjut kenyataan Sanchez.

Negara Afrika utara itu gagal lima kali dalam usaha membawa kejohanan berkenaan ke pesisiran pantai selatan Mediterranean, dengan Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico mengatasi mereka untuk kejohanan edisi 2026.

Uruguay, Argentina dan Paraguay juga bercadang menjadi tuan rumah 2030, yang menandakan 100 tahun sejak kejohanan pertama.

Greece, Bulgaria, Romania dan Serbia juga menyatakan kesediaan untuk menganjurkannya secara bersama, sama seperti gabungan United Kingdom dan Ireland. Proses bidaan rasmi akan dilakukan pada 2020. - AFP

 

Berita Harian X