Sabtu, 3 November 2018 | 12:15am

Arsenal mampu lebur rekod Liverpool

KOLUM APA KATA EPL

Minggu ini tumpuan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) sudah pasti membabitkan pertembungan antara dua kelab gergasi, Arsenal dan Liverpool di Emirates, London jam 1.30 pagi esok waktu Malaysia.

Kedua-dua pasukan menganggap aksi ini penting dalam menentukan hala tuju selepas ini. Kemenangan sudah pasti akan meletakkan mereka di landasan tepat untuk memburu kejuaraan liga musim ini.

Buat Liverpool, tiga mata dibawa pulang bukan saja melonjakkan mereka kembali ke puncak liga dengan memintas semula pendahulu semasa, Manchester City, malah mengekalkan rekod tanpa kalah aksi liga.

Bagi The Gunners pula, kemenangan ke atas skuad Jurgen Klopp itu akan terus merapatkan kedudukan mereka dengan City di puncak, disamping memberi motivasi barisan Unai Emery untuk mengekalkan rentak positif.

Selepas 10 perlawanan, Arsenal menduduki tangga keempat liga dengan himpunan 22 mata, manakala The Reds di tempat kedua dengan jumlah 26 mata - berkongsi mata sama dengan City.

Ini adalah kali pertama Emery dan Klopp berentap di EPL. Dua tahun lalu, mereka bertemu aksi final Liga Europa. Ketika itu Emery membimbing kelab La Liga, Sevilla menewaskan Klopp bersama The Reds.

Jadi bagaimanakah pertemuan awal pagi esok? Mampukah Klopp menebus kekecewaan tewas di pentas Eropah itu? Atau adakah Emery bakal mengecewakan lawannya itu buat kali kedua berturut-turut dan sekali gus memusnahkan rekod tanpa kalah barisan Klopp?

Seperti juga Klopp, ketika ini prestasi Emery cemerlang. Arsenal berjaya bangkit memenangi semua 11 aksi pelbagai kejohanan kecuali menentang Crsytal Palace minggu lalu, selepas tewas kepada City pada awal musim.

Cuma mungkin kemenangan The Gunners setakat ini dalam liga tidak membabitkan kelab gergasi berbanding Liverpool yang kekal tanpa tewas bersama City dan Chelsea selepas 10 perlawanan.

Pada aksi pagi esok Liverpool dijangka turun tanpa khidmat perancangnya, Jordan Henderson dan Naby Keita. Namun dalam masa terus menyandarkan harapan kepada ayam tambatan, Mohamed Salah selain Sadio Mane, Firmino dan Xherdan Shaqiri untuk merobek gawang.

Arsenal pula dijangka terus bergantung harap kepada perancang serba boleh, Mesut Ozil serta dua penyerangnya Alexandre Lacazette dan Pierre-Emerick Aubameyang untuk meleburkan rekod tanpa kalah The Reds.

Penulis jangkakan perlawanan ini sengit, dengan keputusan bakal terikat.

Sementara itu, City dijangka tiada masalah untuk meneruskan aksi cemerlang apabila menyambut kunjungan Southampton tengah malam Isnin, manakala Chelsea mungkin sedikit teruji apabila menerima kedatangan Palace di Stamford Bridge pada awal pagi Selasa waktu Malaysia.

United pula yang kembali mencatat kemenangan minggu lalu, harus berhati-hati dengan Bournemouth pada aksi awal malam ini jika enggan dikejutkan lagi oleh pasukan pertengahan liga. Selamat menonton.

Ramalan Minggu Ini

Bournemouth 1 Man United 2

Newcastle 2 Watford 1

Everton 2 Brighton 1

West Ham 2 Burnley 1

Cardiff 1 Leicester 1

Arsenal 2 Liverpool 2

Wolves 1 Tottenham 3

Man City 3 Southampton 0

Chelsea 3 Crystal Palace 2

Huddersfield 2 Fulham 0

Berita Harian X