Jumaat, 19 Oktober 2018 | 3:22pm
GAMBAR fail, penyerang PSG, Edinson Cavani (kiri) merembat lalu membolosi gawang Red Star Belgrade ketika perlawanan Liga Juara-Juara baru-baru ini. - Foto timesofmalta.com
GAMBAR fail, penyerang PSG, Edinson Cavani (kiri) merembat lalu membolosi gawang Red Star Belgrade ketika perlawanan Liga Juara-Juara baru-baru ini. - Foto timesofmalta.com

UEFA mungkin gantung PSG

PARIS: Paris Saint-Germain (PSG) berdepan penggantungan UEFA selepas badan induk bola sepak Eropah itu berkata mereka kini membuka kertas siasatan berhubung masalah dicetuskan penonton ketika perlawanan Liga Juara-Juara menentang Red Star Belgrade baru-baru ini.

Perlawanan yang berkesudahan dengan PSG menang 6-1 di The Parc des Princes, turut disiasat oleh pihak berkuasa Perancis kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kegiatan mengatur perlawanan didalangi pegawai kanan kelab juara Liga Serbia yang dikatakan melakukan pertaruhan bernilai berjuta Euro untuk pasukannya tewas dengan jurang lima gol. 

Pendahulu Ligue 1 itu sebelum ini didakwa kerana “bunga api” dan “gangguan penonton” serta didenda 20,000 Euro (RM95,454) kerana kelewatan sepak mula.

Memandangkan salah satu zon tempat duduk PSG sudah ditutup akibat pembakaran suar ketika kekalahan kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara di tangan Real Madrid musim lalu, mereka mungkin menerima hukuman lebih berat sekiranya didapati bersalah kali ini.

Jurulatih PSG, Thomas Tuchel juga sudah diberikan amaran oleh UEFA kerana isu sengaja melengah-lengahkan sepak mula.

Selain daripada insiden di dalam Parc des Princes, pergaduhan turut tercetus antara penyokong tuan rumah dan pasukan keselamatan di luar stadium selepas perlawanan tamat. – AFP

 

Berita Harian X