Selasa, 16 Oktober 2018 | 12:30pm
VINCENT Kompany

Kompany idam lanjutan kontrak di Etihad

LONDON: Kapten Manchester City, Vincent Kompany berasa prestasinya bertambah baik sepadan dengan peningkatan usia dan berharap kontraknya di Etihad dilanjutkan melebihi musim ini.

Kompany, 32, mengharungi beberapa siri kecederaan di lewat 20-an dan kini sedang diperhatikan dengan teliti oleh pengurus City, Pep Guardiola dan jurulatih Belgium, Roberto Martinez. 

Kontraknya di Etihad akan berakhir pada musim panas depan tetapi Martinez mendedahkan Kompany memberitahunya dia berhasrat untuk beraksi di tahap tertinggi untuk tempoh tiga tahun lagi.

Pertahanan kental itu disenaraikan dalam kesebelasan utama bagi empat perlawanan untuk City musim ini ketika Guardiola melakukan penggiliran di antara John Stones, Nicolas Otamendi dan Aymeric Laporte.

Tetapi Kompany yang ketika ini memegang rekod pemain paling lama beraksi buat City dikatakan masih insan penting dalam bilik persalinan kelab berkenaan.

“Pertama sekali, situasi dengan City amat mudah. Saya berada di kelab di mana saya berasa amat selesa,” kata Kompany. “Saya mempunyai hubungan yang amat baik dengan semua orang di dalam kelab jadi tiada sebarang sebab untuk saya merasa terlalu bimbang dengan situasi kontrak saya.

“Saya berada dalam keadaan yang selesa dengan semua orang dan kami akan membuat keputusan apabila ia perlu dibuat. 

“Perkara yang baik juga adalah saya turut berasa selesa di atas padang. Ia satu keseimbangan apabila saya menjadi semakin berusia. Pada satu ketika, semuanya bertambah mudah kerana pengalaman saya.

“Saya dapat berfikir dengan lebih pantas dan dengan usia dan pengalaman bermakna saya boleh menjangkakan sesuatu sebelum ia berlaku. Tetapi disebabkan oleh usia juga, saya dapat belajar yang saya tidak perlu mengejar semua bola seperti yang saya lakukan lima atau enam tahun lalu.”

Kompany turut menolak khabar angin yang mengatakan dia mahu melabur dalam kelab bukan liga,  Stockport County sebagai sebahagian rancangannya untuk membeli kelab berkenaan. 

Dia yang memiliki ijazah dalam pentadbiran perniagaan di Manchester Business School berkata: “Ada spekulasi dan khabar angin mengenai Stockport ketika ini tetapi tetapi ia tidak berasas.” - Agensi

Berita Harian X