Ahad, 14 Oktober 2018 | 11:53am
HARRY Kane. - Foto Reuters

Prestasi saya tidak menurun - Kane

LONDON: Kapten England, Harry Kane percaya dia masih di tahap terbaik sambil menyifatkan, isu serta persoalan terhadap prestasinya timbul disebabkan sentuhan penyudahnya yang tajam di depan gol, sejak beberapa musim sebelum ini.

Kane kini mengharungi enam perlawanan tanpa sebarang gol untuk skuad kebangsaan, dengan kali terakhir dia meledak gol untuk England pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia ketika menewaskan Colombia.

Penyerang berusia 25 tahun itu sudah mengumpul lima gol dalam kempen Liga Perdana Inggeris untuk Tottenham musim ini, sekali gus memburu kempen kelima berturut-turut dengan menjaringkan lebih 20 gol semusim.

“Saya menghadapi kesukaran selepas Piala Dunia, tidak mendapat rehat yang cukup, tetapi saya fikir saya menanganinya dengan baik,” kata Kane.

“Saya kekal cergas dan sihat. Ia adalah keutamaan saya pada permulaan musim ini. Kini ia sedang menuju ke arah itu dan terus berusaha keras bagi menghadapi musim sejuk.

“Saya menetapkan tahap untuk diri sendiri dan saya mahu mencapai standard itu setiap kali bermain. Saya tidak fikir permainan saya menurun.”

Kane turut beraksi ketika England diikat 0-0 oleh Croatia dalam kempen Liga Negara-Negara Eropah di Rijeka, semalam.

“Apabila kamu menetapkan standard seperti yang saya tetapkan sejak beberapa tahun dan kamu terjatuh sedikit, orang akan mula bercakap,” katanya. 

“Itulah cara permainan ini berjalan. Saya cukup berpengalaman ketika ini untuk mengetahuinya - supaya tidak pergi terlalu tinggi atau terlalu rendah. Saya hanya kekal fokus terhadap kerja dan apa yang perlu dilakukan.

“Di Liga Perdana, saya adalah penjaring gol kedua terbanyak dan saya mahu menjaringkan gol lebih banyak untuk England.” - Agensi

Berita Harian X