Sabtu, 6 Oktober 2018 | 12:01am
Pengurus Liverpool, Juergen Klopp. - Foto REUTERS
Pengurus Liverpool, Juergen Klopp. - Foto REUTERS

Reds tiada kelebihan: Klopp

LIVERPOOL, England: Tiga kemenangan Liverpool ke atas juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City musim lalu tidak bermakna mereka boleh mengalahkan lawan kali ini, kata pengurus Juergen Klopp menjelang aksi dua pasukan itu di Anfield, Ahad ini.

Liverpool mengalahkan City 4-3 pada perlawanan dramatik Liga Perdana, Januari lalu sebelum menang 3-0 pada suku akhir pertama Liga Juara-Juara di Anfield.

Di Stadium Etihad, anak buah Klopp menang 2-1 pada suku akhir kedua namun pengendali dari Jerman itu enggan memikirkan mengenai keputusan itu.

“Kami mengalahkan City tiga kali musim lalu dan tidak sekali pun selepas perlawanan itu kami masuk ke bilik persalinan dan berasakan ‘kini kami tahu bagaimana untuk mengalahkan mereka’,” kata pengurus Liverpool itu.

“Kami perlu fokus, beraksi tahap terbaik untuk menjauhkan mereka dari gol kami dan mencipta peluang di depan gol kami. Saya hormati mereka, sudah tentu. Ia pasti satu kerja keras, tiada masalah dengannya, setiap orang mengetahui.”

Ketika kedua-dua pasukan itu terikat 19 mata di puncak carta, Klopp tidak menganggap perlawanan itu sebagai perjuangan merebut kejuaraan.

“Saya tidak fikir wajar ketika ini memikirkan mengenai kejuaraan, tapi ia perlawanan laman sendiri menentang Man City dan ia sukar. Man City memang sering kali sukar, sekalipun apabila kami menang 3-0 dalam Liga Juara-Juara.

“Ketika menang 4-3 mereka amat bagus. Mereka tidak pernah berputus asa walaupun ketinggalan 1-4,” katanya.

Reds kalah kepada Napoli dalam Liga Juara-Juara awal pagi semalam dan selepas seri di Chelsea dalam Liga Perdana serta tewas di laman sendiri di tangan kelab London itu dalam Piala Liga, Liverpool kini tidak menang dalam tiga perlawanan berturut-turut.

Klopp berkata, kekecewaan kerana kalah boleh membantu pasukannya fokus dengan cabaran menundukkan City.

“Kami mahu menunjukkan tindak balas. Saya tidak mahu kalah di Napoli tapi jika anda tanya persiapan terbaik dari segi mengembalikan mood, ia adalah kekalahan. Kami berasakannya sekarang, kami tidak mahu mengalami perasaan itu sekali lagi,” katanya. - Reuters

Berita Harian X