Jumaat, 5 Oktober 2018 | 10:32am
INSIDEN bas Manchester City diserang penyokong Liverpool di Anfield, April lalu. - Foto Reuters

Man City pantau penyokong Liverpool

LIVERPOOL: Manchester City memasang peralatan pengawasan berkualiti di bas pasukan menjelang kunjungan ke Liverpool Ahad ini.

Pemasangan berkenaan, termasuk 15 kamera definisi tinggi ultra di sekeliling bas, dibuat susulan serangan ke atas kenderaan pasukan ketika kunjungan ke Anfield sebelum ini.

Sebelum pertembungan Liga Juara-Juara April lalu, penyokong Liverpool membaling botol, batu, suar dan mercun roket ke arah bas yang membawa Pep Guardiola dan anak buahnya, menyebabkan kerosakan bernilai beribu ringgit.

Walaupun terdapat amaran yang penyokong Liverpool akan memberikan sambutan seumpanya dan rakaman insiden berkenaan tersebar, polis Merseyside gagal membuat sebarang tangkapan.

Justeru City terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga menjelang perlawanan kali ini, kali pertama mereka kembali ke gelanggang berkenaan sejak aksi suku akhir itu.

 Difahamkan kakitangan yang dilatih khas mengendali kamera-kamera berkenaan akan memantau sebarang isyarat kekecohan sepanjang perjalanan City. Sekiranya insiden April lalu berulang, gambar jelas mereka yang terbabit akan dirakam dan dihantar kepada pihak berkuasa. – AGENSI

Berita Harian X