Khamis, 4 Oktober 2018 | 1:03am

Tiba lewat, United berdepan tindakan UEFA

PARIS: Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) membuka prosiding disiplin terhadap Manchester United selepas pasukan itu lambat tiba di Old Trafford sehingga memaksa sepak mula perlawanan Liga Juara-Juara menentang Valencia dilewatkan.

United mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang pasukan dari Sepanyol itu, awal pagi tadi sekali gus meningkatkan tekanan terhadap pengendalinya, Jose Mourinho.

Kelab gergasi Inggeris itu berdepan tindakan daripada UEFA susulan ‘ketibaan lewat pasukan’ yang melanggar peraturan pertandingan sehingga menyebabkan ‘sepak mula lewat’ menurut kenyataan ringkas dikeluarkan badan induk itu.

Kes berkenaan akan dibicarakan oleh Badan Disiplin, Etika dan Kawalan UEFA pada 18 Oktober ini.

Valencia turut didakwa atas sepak mula lewat selain ‘pelanggaran kit perlawanan’ dan nyalaan bunga api yang dilakukan oleh penyokong mereka.

United yang gagal mencatat kemenangan dalam empat perlawanan terakhir di gelanggang sendiri dalam semua kejohanan ketika ini ketinggalan sembilan mata di belakang seteru tetangganya Manchester City di puncak Liga Perdana. - AFP

Berita Harian X