Rabu, 3 Oktober 2018 | 6:46am
PENYERANG Juventus, Paulo Dybala (kanan) menjaringkan gol pada perlawanan menentang GSC Young Boys Bern, awal pagi tadi. - Foto EPA
PENYERANG Juventus, Paulo Dybala (kanan) menjaringkan gol pada perlawanan menentang GSC Young Boys Bern, awal pagi tadi. - Foto EPA

Tanpa Ronaldo, Dybala ledak hatrik 

TURIN, Itali: Paulo Dybala meledak hatrik ketika Juventus menang 3-0 dalam pertembungan Liga Juara-Juara menentang Young Boys, walaupun pasukan itu dikatakan bergelut selepas kehilangan Cristiano Ronaldo, sekaligus mengetuai saingan Kumpulan H, awal pagi tadi. 

Ronaldo yang digantung perlawanan hanya menonton aksi itu dari tempat duduk penonton, selepas mengutip kad merah ketika jaguh Itali berkenaan menang 2-0 ke atas Valencia, pada aksi pertama kumpulan.

Namun, Dybala yang dibayangi Ronaldo sejak ketibaan bintang Portugal itu dari Real Madrid, berjaya mencetuskan impak besar dalam penampilan pertama di pentas Eropah pada musim ini, – bermula dengan voli menarik untuk meledak gol pertama pada minit kelima selepas menerima bola tinggi daripada Leonardo Bonucci. 

Dia menggandakan jaringan pada minit ke-33, apabila bijak mengutip bola muntah hasil percubaan Blaise Matuidi dan gol ketiga muncul hasil hantaran kemas Juan Cuadrado pada minit ke-69. 

Young Boys – juara dari Switzerland beraksi 10 pemain sepanjang 15 minit terakhir apabila bek tengah mereka, Mohamed Ali Camara dilayangkan kad merah selepas mengutip kad kuning kedua apabila mengasari Dybala.  

PENYERANG Juventus, Paulo Dybala meraikan jaringan golnya ketika menentang BSC Young Boys Bern di Turin, awal pagi tadi. - Foto EPA
PENYERANG Juventus, Paulo Dybala meraikan jaringan golnya ketika menentang BSC Young Boys Bern di Turin, awal pagi tadi. - Foto EPA

“Saya memang mahukan perlawanan seperti ini,” kata Dyabala, 24,.

“Cukup jelas, pemain memang sentiasa mahu beraksi. Musim lalu, saya menempuh detik di sebaliknya, saya meledak banyak jaringan dan selepas ini, mula hilang sentuhan.

"Semua itu membuatkan saya terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan kembali rentak, dan kini saya sedang menikmatinya,” 

Setakat ini, Juventus mengekalkan rekod 100 peratus kemenangan dalam sembilan perlawanan pada musim ini – tujuh di saingan liga serta dua di pentas Eropah.

“Kami beraksi tanpa Ronaldo dan pada ketika ini, situasi menjadi lebih mudah jika dia disenaraikan. Namun, kami masih pasukan yang baik ketika bersamanya atau tanpa Ronaldo,” tambah pemain dari Argentina ini. – AFP 

 

Berita Harian X