Isnin, 1 Oktober 2018 | 10:15pm
SERGIO Aguero - Foto Reuters

Aguero mampu robek rekod gol EPL

LONDON: Sergio Aguero berupaya memecahkan rekod Alan Shearer yang menyumbat 260 gol dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL), menurut rakan sepasukannya di Manchester City, Bernardo Silva.

Penyerang Argentina itu meledak gol ke-148 dalam EPL ketika City menewaskan Brighton 2-0, Sabtu lalu sekali gus menyamai jumlah gol dijaringkan Shearer untuk Newcastle.

Jumlah itu menyaksikan dia dan legenda England itu berkongsi kedudukan ketiga senarai penjaring terbanyak untuk sesebuah kelab di belakang bintang Arsenal, Thierry Henry (175) dan penyerang Manchester United,  Wayne Rooney (183).

Kedua-dua rekod berkenaan nampak berpotensi dicapai oleh Aguero, mungkin pada musim ini tetapi untuk mengancam rekod yang dilakukan Shearer memerlukannya kontrak di Etihad yang berakhir pada 2021 dilanjutkan.

“Sergio adalah penjaring gol terbaik dalam sejarah Manchester City,” kata Silva. “Dia adalah legenda bukan saja untuk Manchester City tetapi untuk Liga Perdana, jika bukan penyerang terbaik di dunia, dia adalah salah seorang daripadanya.

“Menakjubkan untuk memilikinya bersama kami. Setiap musim dia menjaringkan 30 gol atau lebih. Untuk memiliki pemain seperti memang amat membantu.

“Semua orang berharap dia akan kekal. Jika dia mencapai tahap itu, ia akan bertambah baik kerana semua orang mengetahui betapa pentingnya Alan Shearer untuk bola sepak Inggeris dan Liga Perdana.

“Saya fikir dia boleh mencapainya (rekod). Dia memiliki potensi. Setiap musim dia terus menjaringkan gol. Kami berharap dia boleh membantu kami menjulang lebih kejuaraan di sini.”

City mendaki ke tangga teratas liga menerusi perbezaan jumlah jaringan susulan kemenangan ke atas Brighton selain keputusan seri membabitkan perlawanan Liverpool dan Chelsea.

City dijadual bertemu Liverpool di Anfield, Ahad ini. - AFP

Berita Harian X