Isnin, 1 Oktober 2018 | 2:29pm
PENGURUS Rangers, Steven Gerrard. - Foto Reuters
PENGURUS Rangers, Steven Gerrard. - Foto Reuters

Gerrard kutuk insiden serang pembantu pengadil

LIVINGSTON, Scotland: Pengurus Rangers, Steven Gerrard menegaskan, bola sepak tidak patut dicemari dengan insiden yang menyaksikan pembantu pengadil terkena balingan objek penonton dalam perlawanan di Livingston, semalam.

Liga Perdana Scotland ditangguhkan tujuh minit di babak kedua untuk membolehkan pegawai perubatan merawat Calum Spence yang cedera.

Rakaman di televisyen menunjukkan Spence berdarah di belakang kepala selepas terkena balingan objek dari tempat duduk penyokong Rangers.

Media tempatan berkata, Rangers patut bekerjasama dengan Polis Scotland dan Livingston untuk memburu individu yang melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

“Adakah ini patut ada dalam bola sepak?. Saya rasa tidak,” kata Gerrard kepada media selepas perlawanan yang menyaksikan Rangers tewas 0-1 kepada Livingston.

Kemenangan Livingston itu menyaksikan mereka kini memintas Rangers dan manakala kelab juara, Celtic berada di tangga ketiga liga.

“Bagi saya, kita semua tahu, perbuatan itu memang tidak betul. Dia melakukan tugasnya, jadi itu (membaling objek) memang tidak betul.

Persatuan Pengadil Profesional Scotland mengecam insiden berkenaan dan mendesak Persatuan Bolasepak Scotland (SFA) segera menjalankan siasatan rapi.

“Kami mengutuk insiden yang tidak langsung boleh diterima dalam perlawanan hari ini. Perkara ini tidak boleh ditolak ansur,” kata persatuan pengadil menerusi laman sosial Twitter. - Reuters

Berita Harian X