Isnin, 1 Oktober 2018 | 11:46am
PERTAHANAN Spurs, Danny Rose. - Foto AFP

Spurs perlu bangkit tewaskan Barcelona

LONDON: Tottenham perlu bangkit dengan menewaskan Barcelona di saingan Liga Juara-Juara pada awal pagi Khamis nanti, tegas pertahanan Spurs, Danny Rose.

Spurs kecundang 1-2 kepada Inter Milan dalam aksi pembukaan kumpulan, dengan dua gol dilepaskan ketika perlawanan berbaki lima minit.

"Kami kecewa dengan cara perlawanan menentang Milan berakhir," kata Rose.

"Kami perlu menang. Kami sedar mengenainya dan sudah membuktikannya."

Kekalahan kepada Inter adalah kali ketiga berturut-turut bagi Spurs namun sejak itu, mereka sudah meraih tiga kemenangan berturut-turut untuk melonjak di kedudukan keempat liga, selain mara ke pusingan keempat Piala Carabao.

Juara Sepanyol, Barcelona pula hanya meraih dua mata dari tiga perlawanan terakhir La Liga, termasuk jaringan lewat menentang Athletic Bilbao untuk melakar keputusan seri.

Mereka menewaskan PSV 4-0 dalam aksi pembukaan kumpulan dengan Lionel Messi melakar rekod hatrik kelapan dalam Liga Juara-Juara. Barcelona meraih gelaran Liga Juara-Juara di Wembley pada 2011.

Spurs akan turun tanpa pemain tengah, Dele Alli yang mengalami kecederaan hamstring dengan pengurus, Mauricio Pochettino merehatkan setengah pemain utama ketika menewaskan Huddersfield 2-0 pada Sabtu lalu.

Harry Winks dan Victor Wanyama, yang diturunkan pada babak kedua di Stadium John Smith, mungkin akan diturunkan dalam aksi menentang Barcelona. -Agensi

Berita Harian X