Sabtu, 22 September 2018 | 12:24am
SERGIO Aguero - Foto AFP
SERGIO Aguero - Foto AFP

Aguero sambung kontrak di City

LONDON: Penjaring gol terbanyak Manchester City, Sergio Aguero menyambung kontraknya selama setahun lagi bersama juara Liga Perdana Inggeris itu, hari ini.

Pemain kebangsaan Argentina berusia 30 tahun itu - yang memecah rekod jaringan musim lalu dan kini mengumpul 204 gol - menandatangani kontrak yang menyaksikannya bermain di City hingga hujung musim 2021.

“Saya gembira dengan tambahan setahun ini,” kata Aguero dalam kenyataan kelab.

“Rancangan saya untuk berada di sini selama 10 tahun. Saya sudah berada di sini selama tujuh tahun, ia akan menjadi 10 apabila kontrak itu berakhir.

“Inilah sebab utama saya menandatanganinya. Saya amat gembira kerana mereka melayan saya dengan baik sejak hari pertama saya menjejakkan kaki di sini.”

Pengarah bola sepak Manchester City, Txiki Begiristain berkata, Aguero – yang diketepikan beberapa kali oleh pengurus Pep Guardiola dalam tempoh dua tahun terakhir bagi memberi laluan kepada pemain Brazil, Gabriel Jesus – mengekalkan statusnya sebagai seorang daripada pemain penting kelab itu.

“Kami gembira Sergio menyambung kontrak di Manchester City,” kata Begiristain.

“Dia amat penting buat kelab ini sejak tiba pada 2011 dan dia kekal dalam perancangan utama kami bagi beberapa tahun akan datang.

“Kami bertuah memiliki seorang daripada penyerang terbaik dunia di kelab kami selama beberapa tahun.” - AFP

Berita Harian X