Rabu, 5 September 2018 | 6:02pm
TAN Cheng Hoe bersama pemain skuad Harimau Malaysia ketika menjalani sesi latihan menjelang Perlawanan Persahabatan Antarabangsa menentang Taiwan dan Kemboja di USIM, Nilai, Negeri Sembilan. - Foto Adzlan Sidek
TAN Cheng Hoe bersama pemain skuad Harimau Malaysia ketika menjalani sesi latihan menjelang Perlawanan Persahabatan Antarabangsa menentang Taiwan dan Kemboja di USIM, Nilai, Negeri Sembilan. - Foto Adzlan Sidek

Pentas AFF penentu untung nasib Cheng Hoe

NILAI: Sejauh mana kedudukan Tan Cheng Hoe untuk terus mengemudi skuad kebangsaan bergantung kepada keputusan yang bakal diraih di Piala Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) November depan.

Bagaimanapun, bekas jurulatih Kedah itu tetap tenang dalam mempersiapkan pasukan walaupun banyak pihak pasti sukar menerima andai Harimau Malaya terus gagal ‘mengaum’ di pentas antarabangsa.

Apatah lagi, selepas beberapa keputusan baik dicapai skuad muda di Sukan Asia Jakarta-Pelembang 2018, Kejohanan AFF Bawah 19 (B-19) dan B-16 tahun.

“Bagi saya sebagai jurulatih skuad kebangsaan itu sebagai motivasi untuk saya kerana selepas pencapaian terbaik skuad bawah 23 tahun, itu petanda positif bola sepak Malaysia.

“Saya harap pemain senior dapat menyahut cabaran di mana kejayaan pemain muda sebagai satu motivasi, saya rasa semua pemain mahu buat sesuatu untuk skuad negara,” katanya.

Cheng Hoe menandatangani kontrak dua tahun pada April 2017 sebagai penolong jurulatih sebelum dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih kebangsaan menggantikan Nelo Vingada yang meletakkan jawatan pada Disember tahun lalu.

Di bawah bimbingan Cheng Hoe, Harimau Malaya seri 2-2 dengan Mongolia, menang 7-0 ke atas Bhutan serta 1-0 mengatasi Fiji dalam aksi persahabatan antarabangsa manakala tumpas 1-2 di tangan Lubnan pada Kelayakan Piala Asia 2019.

Hari ini beliau bersama 22 pemain berlepas ke Taiwan bagi aksi persahabatan antarabangsa di Taipei City, Jumaat ini sebelum bertandang ke Phnom Penh untuk bertemu Kemboja pada Isnin depan.

Amat penting untuk skuad kebangsaan mengekalkan momentum kemenangan biarpun fokus Cheng Hoe ketika ini lebih kepada menilai prestasi dan keserasian pemain dalam aksi persahabatan itu.

"Saya mengharapkan persembahan terbaik daripada pemain yang akan diturunkan nanti, saya percaya pemain mahu melakukan sesuatu," katanya.

Selepas Taiwan dan Kemboja, Harimau Malaya akan 'mengasah taring' mereka dalam aksi persahabatan dengan Sri Lanka di Colombo pada 12 Oktober, Republik Kyrgyz di Stadium Hang Jebat (16 Oktober) dan Maldives di Stadium Nasional Bukit Jalil (3 November).

Pada kempen Piala AFF, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Kemboja, Laos, Vietnam dan Myanmar.

Berita Harian X