Selasa, 4 September 2018 | 7:09pm
PEMAIN muda, Nik Akif Syahiran Nik Mat. - Foto Luqman Hakim Zubir
PEMAIN muda, Nik Akif Syahiran Nik Mat. - Foto Luqman Hakim Zubir

'Saya bukan bintang'

NILAI: Pemain muda, Nik Akif Syahiran Nik Mat mengakui dirinya belum layak digelar bintang meskipun berjaya mendapat tempat dalam skuad kebangsaan ketika baru berusia 19 tahun.

Pemain tengah Kelantan ini berjaya mencuri tumpuan selepas membantu skuad bawah 19 (B-19) tahun menjuarai Kejohanan AFF di Indonesia pada Julai lalu dan skuad B-23 mara ke pusingan kedua Sukan Asia Jakarta-Palembang yang berakhir Ahad lalu.

Kini dia mendapat kepercayaan jurulatih Tan Cheng Hoe untuk bersama skuad Harimau Malaya bagi mengharungi dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Taiwan di Taipei City Jumaat ini dan Kemboja di Phnom Penh, Isnin depan.

“Alhamdulillah syukur kerana saya mendapat panggilan menyertai skuad senior, saya mahu guna peluang ini sebaik mungkin dan akan berusaha merebut tempat dalam pasukan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan hari ini.

Selain Nik Akif, Cheng Hoe turut menyenaraikan penyerang muda Akhyar Rashid bersama pasukan kali ini.

Nik Akif berkata, dia perlu bekerja keras untuk merebut tempat kerana pencapaian bersama skuad B-19 dan B-23 tidak akan menjamin kedudukannya dalam skuad Harimau Malaya.

“Ini rezeki hasil kerja keras saya, ini karier saya jadi saya kena terus berusaha dan tidak boleh berpuas hati. Masih banyak yang saya kena belajar dan perbaiki,” katanya.

Sebelum saingan Piala AFF, Nik Akif turut memiliki tugas besar bersama skuad B-19 kendalian Bojan Hodak di Kejohanan AFC, Indonesia bulan depan.

Ketika ditanya adakah dia mampu menyahut cabaran itu, Nik Akif berkata: “Penat memang penat tapi ini kerja saya, Insya-Allah saya boleh menguruskannya.”

Berita Harian X