Selasa, 4 September 2018 | 7:02pm
CHENG Hoe (baju kuning) bersama pemainnya ketika menjalani latihan di USIM, Nilai, Negeri Sembilan. - Foto Adzlan Sidek

Cheng Hoe hilang pemain lagi

NILAI: Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe perlu mencari formula terbaik untuk menyelesaikan masalah di jentera serangan selepas kehilangan khidmat Norshahrul Idlan Talaha hari ini.

Penyerang berusia 32 tahun dari Pahang itu meminta pelepasan kerana mempunyai urusan keluarga dan tidak dapat bersama 22 lagi pemain ke Taiwan, esok bagi aksi persahabatan antarabangsa pada Jumaat ini dan Kemboja Isnin depan.

Ketiadaan Norshahrul atau turut dikenali sebagai Matyo menyebabkan Cheng Hoe sudah kehilangan lima pemain dengan dua daripadanya adalah penyerang Safawi Rashid dan Syafiq Ahmad dari Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Semua OK cuma Matyo minta pelepasan kerana urusan keluarga, jadi kita hormat keputusannya dan lepaskan dia.

“Memang saya tak boleh bagi alasan, jadi saya kena cari satu formula atau formasi terbaik untuk aksi menentang Taiwan dan Kemboja nanti. Sudah tentu pemain yang diturunkan mampu beri persembahan terbaik,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan hari ini.

Tanpa Matyo, Cheng Hoe kini hanya memiliki Zaquan Adha Abd Radzak, Shahrel Fikri Md Fauzi, Akhyar Rashid dan R Kogileswaran untuk mengisi bahagian serangan.

Aksi menentang Taiwan bagi persiapan menghadapi Piala AFF ini adalah perlawanan kelima di bawah kendalian Cheng Hoe.

Kali terakhir Harimau Malaya beraksi menewaskan Fiji 1-0 dalam perlawanan persahabatan pada 5 Julai lalu di Cheras.

“Kalau kita lihat perlawanan Taiwan sejak dua, tiga tahun ini nampak mereka bermain dengan baik di laman sendiri, mereka tak kalah lagi, jadi bukan mudah. Saya rasa pemain yang dibawa mampu beri prestasi terbaik dan saya masih lagi cuba mencari kombinasi pemain,” katanya.

Berita Harian X