Rabu, 29 Ogos 2018 | 7:21am
PEMAIN Ajax meraih kemenangan selepas menempah tiket ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara. - Foto EPA
PEMAIN Ajax meraih kemenangan selepas menempah tiket ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara. - Foto EPA

Ajax, AEK, Young Boys sertai kelompok elit

PARIS: Juara Eropah empat kali, Ajax menempah tiket ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara sekali pun mempersiakan deretan peluang bertemu Dynamo Kiev yang berakhir tanpa jaringan, awal pagi tadi.

Pada aksi kedua peringkat playoff itu, kelab dari Belanda itu mara menerusi agregat 3-1 hasil kemenangan di Ukraine.

Ajax mensia-siakan beberapa peluang untuk menjaringkan gol bermula dengan kegagalan bekas pemain Southampton, Dusan Tadic menyempurnakan sepakan penalti pada babak pertama.

Donny van de Beek kemudian melepaskan satu lagi peluang, apabila rembatannya melepasi gawang pada minit ke-35 dengan cubaan Klaas Jan Huntelaar dinafikan penjaga gol Dynamo, Denys Boyko dan sepakan percuma Hakim Ziyech menggegar palang.

Ajax yang kali terakhir menjuarai gelaran elit Eropah pada 1995 menyertai undian peringkat kumpulan yang dijadual, esok bersama-sama AEK Athens yang turut mara sekali pun diikat seri 1-1 oleh kelab Hungary, MOL Vidi.

Keputusan itu begitupun sudah cukup mengesahkan kemaraan AEK menerusi agregat 3-2.

PEMAIN AEK, Marko Livaja (kiri) diasak pemain Mol Vidi, Roland Juhasz ketika aksi peringkat playoff. - Foto EPA
PEMAIN AEK, Marko Livaja (kiri) diasak pemain Mol Vidi, Roland Juhasz ketika aksi peringkat playoff. - Foto EPA

Sementara itu, kejayaan Croatia mara ke final Piala Dunia buat pertama kali gagal memberi inspirasi kepada Dinamo Zagreb apabila mereka disingkirkan kelab Switzerland, Young Boys.

Dua gol daripada bekas pemain antarabangsa Perancis, Guillaume Hoarau, yang pertama menerusi penalti menyaksikan Zagreb tewas 1-2 kepada Young Boys. - AFP

Berita Harian X