Ahad, 26 Ogos 2018 | 5:39pm
B Sathianathan
B Sathianathan

Layak jadi 'tunjang' Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Beberapa pemain skuad bawah 23 (B-23) tahun negara dianggap layak untuk menyarung jersi Harimau Malaya dan berada dalam kesebelasan utama.

Perkara itu diakui Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berdasarkan prestasi memberangsangkan dipamerkan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee pada Sukan Asia Jakarta-Palembang.

Sathianathan bagaimanapun menegaskan ada kelemahan yang masih perlu diperbaiki terutama di bahagian pertahanan dalam menghadapi situasi satu lawan satu, aspek hantaran dan ketika membuat larian tanpa bola.

Beliau berkata, pengurusan skuad kebangsaan juga perlu mengambil serius pengajaran yang diperoleh daripada persembahan di Sukan Asia bagi membentuk skuad kebangsaan yang lebih mantap.

“Apa yang realistik kita kena tahu kepincangan dan kelemahan yang dihadapi. Walaupun Jepun menurunkan skuad B-21, tapi pertahanan mereka tampak lebih kental dalam situasi satu lawan satu berbanding pemain kita.

“Kalau tanya saya, pemain seperti Safawi (Rasid), Akhyar (Rashid) dan beberapa pemain lain memang layak berada dalam skuad senior. Tapi apa yang lebih penting belajar daripada aksi di Sukan Asia untuk perbaiki kelemahan.

“Macam Jepun, saya boleh katakan mereka tak akan jadi juara (raih pingat emas) sebab pemain mereka masih mentah. Tapi gaya permainan mereka nampak lebih baik,” katanya ketika di hubungi, hari ini.

Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe sebelum ini membayangkan akan memanggil lebih ramai pemain muda terutama dari skuad B-23 bagi menghadapi kejohanan Piala AFF bermula November depan.

Malah, pemain seperti Safawi, Akhyar dan Irfan Zakaria sudah pernah dipanggil mewakili Harimau Malaya sebelum ini.

Apa yang pasti, peningkatan yang dipamerkan anak buah Kim Swee perlu dijadikan asas kepada skuad muda negara bagi memastikan masalah ketandusan pemain berkualiti tidak lagi membelenggu Harimau Malaya.

“Berdasarkan pengajaran dan persembahan di Sukan Asia, kita boleh mempersiapkan pemain muda dalam skuad B-19, B-16 dan B-12 dengan cara yang betul,” jelas Sathianathan.

“Kalau nak setanding Jepun dan Korea Selatan, kita kena betulkan kelemahan dengan memberi tunjuk ajar terhadap teknik yang baik dalam latihan.”

Berita Harian X