Jumaat, 24 Ogos 2018 | 8:50am
VINCENT Kompany
VINCENT Kompany

Kompany mahu kekal di Etihad

MANCHESTER: Vincent Kompany yakin dia kini berada pada prestasi terbaiknya selepas sedekad bersama Manchester City, dengan kapten juara Liga Perdana Inggeris itu bersemangat untuk melanjutkan kontraknya.

Pemain Belgium itu, yang kariernya bersama City dihantui kecederaan, akhirnya mencapai tahap kecergasan konsisten dan menjadi tonggak kepada permulaan cemerlang City musim ini - bermula dengan kemenangan ke atas Chelsea dalam aksi Perisai Komuniti, serta kemenangan ke atas Arsenal dan Huddersfield dalam saingan liga.

Perlawanan seterusnya adalah kunjungan ke Wolves esok, dan Kompany, 32, menikmati penguasaan City di bawah kendalian Pep Guardiola sehingga dia tidak terfikir karier selain daripada di Etihad.

“Saya sebenarnya amat bertuah dapat menjadi atlet yang bagus, saya masih cergas, masih kuat, semakin meningkat dan saya banyak belajar tentang permainan ini,” kata Kompany yang kontraknya akan berakhir musim ini.

“Saya tidak tertekan akan gemuruh dengan sebarang situasi kerana saya sentiasa bersedia. Saya lebih menikmati permainan sekarang. Mungkin tahun pertama dan tahun terakhir ini adalah yang terbaik dalam karier saya, jadi saya mahu ia berlanjutan selama mungkin.”

Kompany satu-satunya pemain yang menyertai kelab itu sebelum ia diambil alih oleh Sheikh Mansour. Dia ditandatangani pada harga 6 juta pound (RM31.5 juta) dari Hamburg pada Ogos 2008 sebelum pemilik dari Abu Dhabi mengambil alih kelab berkenaan. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X