Khamis, 23 Ogos 2018 | 8:24am
PENJAGA gol Arijanet Muric. - Foto Twitter Man City Academy

Muric kembali ke pangkuan Man City

LONDON: Penjaga gol Arijanet Muric akan kembali ke Manchester City untuk membantu Ederson selepas tempoh pinjamannya ke kelab Belanda NAC Breda dipendekkan.

Juara Liga Perdana itu memerlukan sokongan kepada penjaga gol Brazil itu memandangkan Claudio Bravo dijangka akan berehat sepanjang musim ini selepas cedera tendon Achilles ketika sesi latihan Isnin lalu.

Muric hanya sempat membuat satu penampilan ketika NAC menang 3-0 ke atas De Graafschap, Sabtu lalu.

“Pemain muda Switzerland itu menyertai pasukan Belanda menerusi satu perjanjian jangka panjang namun kecederaan Claudio Bravo ketika sesi latihan awal minggu ini memaksa Blues mendapat kebenaran untuk memanggil semula penjaga gol berusia 19 tahun itu,” kata City dalam satu kenyataan.

“Muric akan kembali ke Manchester esok dan bersedia untuk berlatih minggu ini menjelang pertemuan menentang Wolves.”

City sebelum ini menjual bekas penjaga gol nombor satu Joe Hart kepada Burnley dan penjaga gol England bawah 21 Angus Gunn kepada Southampton awal musim panas lalu. - AFP

Berita Harian X