Sabtu, 11 Ogos 2018 | 10:13am
LEONARDO Bonucci.

Bonucci gembira Juve tidak lagi 'ketinggalan gol'

 

TURIN: Leonardo Bonucci gembira ketibaan Ronaldo bersama Juventus, yang memburu trofi Liga Juara-Juara, untuk membolehkan juara Itali berkenaan tidak lagi bermula dengan ketinggalan "0-1" apabila menentang Real Madrid.

Ronaldo sentiasa menjadi pemusnah di Eropah untuk Juventus sejak kebelakangan ini, meledak 10 gol dalam tujuh perlawanan menentang pasukan Serie A berkenaan untuk membolehkan Real Madrid menjulang Liga Juara-Juara tiga kali berturut-turut.

"Apabila mempunyai Ronaldo dalam pasukan, ia bermakna kami tidak akan turun dalam perlawanan ketinggalan 0-1," kata Bonucci, yang kembali ke Juventus selepas setahun bersama AC Milan.

Ronaldo, menjadi penghalang Juventus merangkul Liga Juara-Juara sejak kali terakhir 1996,  meledak dua gol di final 2017 dengan Madrid menang 4-1.

Musim lalu dia turut meledak dua gol apabila Madrid menang 3-1 di Stadium Allianz pada suku akhir pertama Liga Juara-Juara di Turin termasuk diberikan penghormatan penonton tuan rumah yang berdiri susulan sepakan gunting yang dilakukannya.

Dia kemudiannya menjaringkan gol penalti masa tambahan di Bernabeu untuk menamatkan kebangkitan Juventus selepas ketinggalan tiga gol.

"Dia akan membawa kami ke tahap seterusnya dan untuk Juventus, kami sudah mempunyai skuad yang kuat," katanya.

"Objektif kami adalah hadir ke Madrid, menang liga, piala dan Liga Juara-Juara. Ia sentiasa menjadi matlamat Juventus." -AFP

 

 

Berita Harian X