Khamis, 9 Ogos 2018 | 4:41pm

Ramalan aksi pembuka musim EPL

LONDON: Saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2018/2019 akan bermula, awal pagi Sabtu ini dengan Manchester United memulakan kempen menentang Leicester City.

Juara bertahan, Manchester City memasuki saingan musim baharu dengan sekali lagi diletakkan sebagai pilihan selepas menamatkan saingan musim lalu di tangga teratas dengan mengumpul 100 mata, 19 mata meninggalkan penghuni tangga kedua, United.

Walaupun dilihat tidak begitu sibuk sepanjang pintu perpindahan pemain dibuka, namun mereka diramal akan terus mendominasi saingan liga termahal dunia itu dengan The Citizens membawa masuk bintang sensasi Leicester, Riyad Mahrez bagi memantapkan bahagian sayap pasukan itu.

Sebagai rekod, pasukan terakhir yang berjaya mempertahankan gelaran juara dimenangi adalah United ketika melakukannya pada 2009.

Tumpuan juga akan terarah kepada tiga pendatang baharu liga – Cardiff City, Wolverhampton Wanderers dan Fulham.

Cardiff dijangka tidak mampu bertahan lama dalam saingan liga utama itu susulan kekurangan bakat berkualiti manakala Wolverhampton dan Fulham diramal mampu mengakhiri saingan sekurang-kurangnya di kedudukan pertengahan liga.

Wolverhampton dibimbing pengurus berpengalaman, Nuno Espirito Santo yang menyertai kelab itu musim lalu dan berjaya membawa pasukan berkenaan muncul juara Liga Kejuaraan.

Ketika perbualan lebih terarah terhadap kemasukan Mahrez ke City, United juga tidak kurang hebatnya apabila membawa masuk pemain tengah Brazil, Fred dari Shakhtar Donetsk dan pemain sayap Porto, Diogo Dalot.

Liverpool pula yang melakar kejutan mara ke final Liga Juara-Juara musim lalu akhirnya berjaya mendapat penjaga gol yang mereka impikan apabila membawa masuk Alisson daripada AS Roma pada musim panas.

The Reds turut memperkukuhkan bahagian tengah pasukan itu dengan kehadiran Naby Keita daripada RB Leipzig dan Fabio (Monaco) selain berjaya mendapatkan khidmat Xherdan Shaqiri daripada Stoke City.

Chelsea dan Arsenal dijangka kekal menjadi pencabar utama kejuaraan dengan kehadiran beberapa muka baharu dalam pasukan mereka. The Blues yang kini dibimbing Maurizio Sarri membawa masuk Jorginho daripada Napoli manakala Arsenal berjaya mendapatkan khidmat Lucas Torreira dan penjaga gol muda Jerman, Bernd Leno.

Tottenham Hotspurs masih belum ada perkhabaran mereka membawa masuk muka baharu dan ia melahirkan rasa kurang senang dalam kalangan penyokong kelab itu. – Agensi

Ramalan
Liga Perdana Inggeris

Awal pagi Sabtu

Man United 2 Leicester City 1

Sabtu

Newcastle 0 Tottenham 2

Bournemouth 2 Cardiff City 1

Fulham 1 Crystal Palace 1

Huddersfield Town 1 Chelsea 3

Watford 1 Brighton 1

Wolves 1 Everton 1

Ahad

Liverpool 3 West Ham 1

Southampton 1 Burnley 1

Arsenal 1 Manchester City 2

Berita Harian X