Selasa, 7 Ogos 2018 | 8:14am
NABIL Fekir. - Foto AFP

Fekir 'selesa' di Lyon

LYON: Kapten Lyon, Nabil Fekir menegaskan dia gembira bersama kelab dan kini sedang bersiap sedia mengadapi musim baharu dengan cemerlang, walaupun hangat dikaitkan dengan perpindahan ke kelab lain.

Pemain tonggak berusia 25 tahun itu yang juga anggota skuad juara Piala Dunia Perancis, dikaitkan dengan perpindahan ke Liverpool pada Jun lalu, sebelum rundingan menemui jalan buntu.

“Seperti yang ada dapat lihat, saya berada di Lyon. Saya gembira berada di sini,” kata Fekir dalam temuramah bersama lawan web rasmi kelab, selepas kembali menjalani latihan pada Isnin.

“Namun, tempoh perpindahan masih panjang dan apa saja boleh berlaku dalam sekelip mata,”

Chelsea juga dikatakan berminat mendapatkan Fekir dan pengurus, Maurizio Sarri dikatakan mahu memperkuatkan skuadnya sebelum jendela perpindahan pemain untuk Liga Perdana Inggeris (EPL) ditutup pada Khamis ini.

“Kamu tidak akan tahu apa yang akan berlaku pada masa depan, tetapi saya sangat selesa di Lyon. Saya rasa sangat gembira bersama pasukan,” kata Fekir.

“Kami memiliki kelompok pemain yang sangat bagus dan berada dalam persekitaran yang harmoni. Ia hampir sama seperti skuad Perancis, ada campuran pemain senior dan pemain muda, ada yang cukup berpengalaman.

Lyon kembali ke saingan Liga Juara-Juara pada musim ini selepas gagal layak pada musim lalu, dan Fekir kini mula menyasarkan kempen yang lebih berjaya berbanding hanya sekadar beraksi di peringkat kumpulan pada musim 2016/17. - AFP

Berita Harian X