Jumaat, 27 Julai 2018 | 3:57pm

Pasukan, penyokong Selangor teruja kembali ke 'lubuk'

KUALA LUMPUR: Kepulangan Selangor ke Stadium Shah Alam selepas menjadi 'gelandangan' satu setengah musim ternyata menjadi berita gembira buat pasukan dan penyokong The Red Giants.

Jurulatihnya, Nazliazmi Nasir mengakui teruja selepas gelanggang keramat itu kembali menjadi gelanggang rasmi apatah lagi sebagai venue tuan rumah sepanjang kempen Piala Malaysia musim ini.

"Sudah tentu kami teruja kerana sudah lama tidak beraksi di stadium itu sebagai pasukan tuan rumah. Piala Malaysia pula sememangnya pertandingan yang cukup berprestij dan Selangor memiliki sejarah unik dalam pertandingan itu.

"Bagaimanapun, faktor stadium bukanlah menjadi keutamaan, sebaliknya karakter pemain dan kesungguhan untuk memberikan yang terbaik serta dahagakan kemenangan yang saya inginkan daripada setiap pemain," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Mohd Faizal Wahid menggesa penyokong pasukan itu supaya dapat memenuhkan stadium bagi membuktikan mereka sentiasa berada di belakang The Red Giants.

"Ini satu keputusan yang wajar kerana kedudukan Stadium Shah Alam yang strategik dan bertepatan dengan status Selangor sebagai pasukan gergasi.

"Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) sudah mendengar kehendak penyokong yang sebelum ini mahu Selangor beraksi di Stadium Shah Alam, jadi tiba giliran penyokong untuk membalasnya dengan memenuhkan stadium," katanya.

Terdahulu, Selangor yang terpaksa 'menumpang' beraksi di laman lain, sah akan kembali menggunakan Stadium Shah Alam bagi mengharungi kempen Piala Malaysia musim ini.

Perkembangan itu dimaklumkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon selepas menerima surat pengesahan kebenaran daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL), semalam.

Berita Harian X