Khamis, 26 Julai 2018 | 1:43pm
MOHAMED Salah. - Foto REUTERS

Liverpool raih kemenangan moral

EAST RUTHERFORD, Amerika Syarikat: Mohamed Salah dan Sadio Mane menemui sasaran ketika membantu Liverpool bangkit menewaskan juara Liga Perdana Inggeris Manchester City 2-1 dalam aksi persahabatan Piala Juara-Juara Antarabangsa, hari ini.

Mane meledak gol kemenangan Liverpool menerusi sepakan penalti dalam masa kecederaan untuk memberikan kemenangan buat skuad kendalian Jurgen Klopp ke atas City yang turun tanpa kekuatan sebenar di Stadium MetLife.

"Babak kedua menggembirakan saya, babak pertama tidak berapa," kata Klopp yang turut memuji persembahan Mane yang dimasukkan ketika babak kedua.

"Anda dapat melihat perbezaannya apabila Sadio dimasukkan. Dia mengawal keadaan dan menyukarkan lawan. Dengan keadaan itu dan beberapa pertukaran lain, ia mengubah permainan."

Klopp dan rakan sejawatan di City, Pep Guardiola bagaimanapun kurang berpuas hati dengan corak permainan ditampilkan anak buah masing-masing di atas padang yang digunakan oleh pasukan NFL New York Jets dan New York Giants.

"Lebih sesuai membaling bola daripada membuat hantaran di arena ini," kata Klopp.

Guardiola pula berkata dia lega apabila pemain-pemainnya tidak cedera.

"Ini berlaku ketika musim pertama saya dengan Barcelona dan saya sangat marah, kecewa," kata Guardiola ketika ditanya berkenaan padang.

"Saya semakin matang. Saya melihatnya dari sisi lain. Ia adalah perniagaan. Kami berdoa sebelum permainan supaya tidak berlaku kecederaan dan itu yang terjadi."

Liverpool dan City mengharungi persiapan pramusim di Amerika Syarikat tanpa beberapa tonggak utama masing-masing yang beraksi di Piala Dunia.

Pada perlawanan berkenaan, City mendahului menerusi pemain Jerman Leroy Sane pada minit ke-57. 

Bintang Mesir, Salah pantas menyamakan kedudukan pada minit ke-62 sebaik dimasukkan, dan Mane menyempurnakan sepakan penalti selepas Tosin Adarabioyo merempuh Dominic Solanke dalam masa kecederaan. - AFP

Berita Harian X