Rabu, 27 Jun 2018 | 7:54am
GERNOT Rohr. - Foto AFP
GERNOT Rohr. - Foto AFP

Nigeria bakal lebih hebat - Jurulatih

ST PETERSBURG: Nigeria terpaksa membayar harga yang tinggi apabila skuad kurang berpengalaman mereka tersingkir daripada saingan Piala Dunia di tangan Argentina awal pagi tadi tetapi kekalahan di St Petersburg memberikan pengalaman cukup berguna, kata jurulatih, Gernot Rohr.

Nigeria yang membariskan pasukan termuda dalam kejohanan, turun dengan sasaran tidak tewas untuk layak ke pusingan kalah mati tetapi jaringan lewat Marcos Rojo memberikan kemenangan 2-1 kepada Argentina.

"Ia sesuatu yang mengejutkan," kata Rohr kepada wartawan. "Pasukan saya sudah memberikan yang terbaik. Mereka mengharungi babak kedua dengan cemerlang dan sudah terlalu hampir untuk ke pusingan kedua. Perlawanan seperti ini akan mematangkan pasukan.

"Di hujung permainan, Argentina memberikan tekanan. Mereka memiliki barisan bintang. Ini adalah kejohanan tahap tinggi dan kami belum bersedia untuk itu. Ia juga soal tuah dan kami tidak memiliki faktor itu hari ini."

Nigeria ketinggalan menerusi jaringan Lionel Messi yang meledak gol pertamanya di Russia dan juga menjadi jaringan ke-100 kejohanan tetapi skuad Afrika berkenaan bangkit menyamakan kedudukan menerusi penalti ketika babak kedua berusia enam minit.

Mereka hampir menghantar pulang skuad Amerika Selatan itu tetapi kegagalan memberikan tumpuan di hujung permainan menyaksikan pertahanan Manchester United, Rojo menjaringkan gol selepas menerima hantaran lintang Gabriel Mercado pada minit ke-86 sekali gus membolehkan Argentina muncul pemenang.

"Apa yang berlaku sudah berlaku. Ia tidak mengikut kehendak kami," kata kapten Nigeria, Jon Obi Mikel. "Pasukan kami masih muda dan dalam tempoh empat tahun lagi, mereka pasti sudah bersedia untuk pertandingan seperti ini.

"Kami memiliki barisan pemain yang sedia untuk meningkatkan kemampuan masing-masing... ia petanda positif buat bola sepak Nigeria."

Rohr percaya pemain Nigeria yang hampir ke pusingan kalah mati itu akan menunjukkan kematangan mereka pada edisi selepas ini.

"Kami memiliki pemain muda yang tidak berpengalaman tetapi dalam tempoh empat tahun lagi, kami pasti lebih kuat," katanya. "Saya gembira andai diberi peluang untuk terus bersama pasukan ini kerana saya yakin dengan mereka.

"Pasukan ini mempunyai disiplin yang baik. Kami hanya kekurangan pengalaman dan melepaskan gol pada hujung perlawanan tetapi itu adalah proses pembelajaran." - Reuters

Berita Harian X