Sabtu, 23 Jun 2018 | 12:56pm
Kapten Nigeria, John Obi Mikel. - Foto AFP
Kapten Nigeria, John Obi Mikel. - Foto AFP

Jangan begini Croatia

VOLGOGRAD:  Kapten Nigeria, John Obi Mikel menggesa Croatia supaya lebih profesional dengan tidak merehatkan pemain pada aksi penentu nasib skuad 'Super Eagles' itu di Piala Dunia.

Dua gol Ahmed Musa memastikan peluang Nigeria untuk mara ke pusingan kedua terus terbuka apabila menundukkan Iceland 2-0 di Volgograd, malam tadi.

Anak buah Gernot Rohr itu kini perlu meraih kemenangan ke atas Argentina di Saint Petersburg untuk mara ke pusingan 16 terbaik buat kali keempat dalam sejarah mereka.

Kekalahan di tangan skuad Albiceste akan menyingkirkan mereka namun seri sudah memadai jika Croatia membantu mereka dengan menewaskan Iceland.

Croatia sudah mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya dan pengendalinya, Zlatko Dalic mengakui beliau akan merehatkan beberapa tonggaknya bagi mengekalkan tahap kecergasan mereka.

Pemain Nigeria, Ahmed Musa meraikan kejayaan membolosi gawang Iceland pada saingan Piala Dunia, semalam. - Foto REUTERS
Pemain Nigeria, Ahmed Musa meraikan kejayaan membolosi gawang Iceland pada saingan Piala Dunia, semalam. - Foto REUTERS

Bagaimanapun, Mikel tidak memahami sebab Dalic mengambil tindakan sedemikian dan menegaskan ia tidak adil.

"Saya tidak rasakan ini adalah perkara yang terbaik untuk dilakukan," katanya kepada Goal.

"Ini adalah kejohanan yang besar. Anda tidak boleh merehatkan pemain dan memberi peluang mudah kepada pasukan lain untuk layak.

"Mereka perlu profesional dan menurunkan pasukan terbaik. Piala Dunia adalah pentas yang berprestij jadi anda tidak boleh merehatkan pemain untuk membantu pasukan lain melayakkan diri."

Nigeria bertemu Argentina dalam empat perlawanan di Piala Dunia namun mereka tewas semua empat pertembungan. -Agensi

Berita Harian X