Khamis, 21 Jun 2018 | 3:19am
BEKAS Presiden FIFA, Sepp Blatter berada di Russia untuk menonton perlawanan Piala Dunia atas tiket jemputan. - Foto AFP
BEKAS Presiden FIFA, Sepp Blatter berada di Russia untuk menonton perlawanan Piala Dunia atas tiket jemputan. - Foto AFP

Tiada kaitan aktiviti bola sepak: Blatter

MOSCOW: Bekas Presiden FIFA Sepp Blatter, yang digantung enam tahun daripada aktiviti bola sepak, berkata hari ini beliau tidak terbabit dalam sebarang aktiviti bola sepak sepanjang kunjungannya ke Russia.

Bercakap kepada Channel 4 News Britain, Blatter berkata beliau berada di Russia di mana beliau menonton perlawanan Piala Dunia di Stadium Luzhniki awal hari ini sebagai jemputan kepada jawatankuasa penganjur kejohanan.

Beliau tidak percaya kehadirannya akan mengaibkan kepemimpinan baru FIFA. Beliau berkata pertemuan dengan Presiden Russia, Vladimir Putin sepanjang berada di sana masih belum disahkan.

Blatter yang menjadi pemimpin FIFA selama 17 tahun digantung susulan kesalahan etika selepas badan induk bola sepak itu digegarkan skandal rasuah global pada 2015.

Sementara itu jurucakap FIFA memberitahu kehadiran Blatter untuk menonton perlawanan Piala Dunia tidak melanggar penggantungan terhadap semua aktiviti bola sepak.

"Ia bukan satu pelanggaran. Ia bergantung kepada apa yang dilakukannya ketika perlawanan itu," kata jurucakap FIFA, Alois Hug. - Reuters

Berita Harian X