Rabu, 13 Jun 2018 | 5:50am
SEPP BLATTER
SEPP BLATTER

Putin jemput Blatter ke Piala Dunia

MOSCOW: Bekas presiden FIFA yang digantung, Sepp Blatter menerima jemputan terbuka daripada Presiden, Vladimir Putin untuk menghadiri kejohanan Piala Dunia di Russia dan berminat untuk menerimanya, kata jurucakap Blatter, Thomas Renggli.

Blatter, yang mengemudi badan induk itu selama 17 tahun, digantung daripada sebarang aktiviti sukan selama enam tahun atas dakwaan salah laku etika pada 2015 membabitkan skandal rasuah terbesar yang memalukan FIFA.

Beberapa pegawai daripada badan induk itu dibicarakan oleh Amerika Syarikat dan Switzerland, manakala Blatter terselamat dan menafikan menyalahgunakan kuasa.

Kehadiran bekas pemimpin berusia 82 tahun ini akan meletakkan beliau hampir dengan pencabarnya, Gianni Infantino, yang cukup tegas menyatakan pendirian mengenai skandal lampau.

Setakat ini, FIFA tidak memberikan sebarang komen apabila ditanya mengenai perancangan membawa Blatter ke Piala Dunia di Russia.

Renggli berkata, setakat ini mereka belum membuat keputusan bila akan berlepas ke Russia dan perlawanan mana yang mereka hadiri, namun yang pasti ia bukanlah aksi pembukaan atau perasmian antara Russia menentang Arab Saudi pada Khamis ini.

Blatter adalah antara individu yang memastikan FIFA memilih Russia sebagai pemenang bidaan tuan rumah pada pemilihan 2010 dengan menewaskan England yang menjadi saingan utama. - Reuters

Berita Harian X