Sabtu, 9 Jun 2018 | 7:23am
KWESI Nyantakyi . - Foto AFP
KWESI Nyantakyi . - Foto AFP

Bos bola sepak Ghana letak jawatan

ZURICH/ACCRA: Presiden Persekutuan Bolasepak Ghana (GFA), Kwesi Nyantakyi mengumumkan melepaskan jawatannya semalam selepas dia digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) atas dakwaan salah laku rasuah.

Nyantakyi, yang juga ahli majlis FIFA juga memohon maaf kepada Presiden Ghana, Nana Akufo-Addo dan kerajaan atas kemelut terbaru melanda bola sepak negara itu.

"Selepas mesyuarat dengan Jawatankuasa Eksekutif petang ini, saya mengambil keputusan meletak jawatan daripada GFA," katanya menerusi kenyataan.

Nyantakyi, yang memegang jawatan itu sejak 2005 dan terpilih sebagai Ahli Majlis FIFA pada 2016 dirakam oleh wartawan yang menyamar ketika mengambil wang sebanyak AS$65, 000 (RM253, 500) di sebuah bilik hotel daripada seorang 'ahli perniagaan' yang kononnya mahu menaja Liga Bola Sepak Ghana.

FIFA semalam mengenakan hukuman gantung ke atas Nyantakyi selama  90 hari, manakala kerajaan Ghana dalam proses membubarkan GFA.

Menteri Penerangannya, Mustapha Abdul-Hamid berkata polis negara itu juga sudah menyita pejabat GFA dan meletakkan status bangunan itu sebagai kawasan jenayah.

Bahan rakaman oleh wartawan yang menyamar itu, Anas Aremeyaw Anas  memaparkan segmen Nyantakyi meminta sejumlah wang untuk disalurkan kepada pegawai tertinggi kerajaan termasuk presiden.

Presiden Ghana, Nana Akufo-Addo sudah mengarahkan siasatan menyeluruh ke atas Nyantakyi mengenai skandal berkenaan.

Dalam pada itu, FIFA enggan memberikan sebarang komen berhubung cadangan kerajaan Ghana yang mahu membubarkan GFA.

Peraturan FIFA menetapkan tidak boleh ada campur tangan kerajaan dalam isu membabitkan persatuan bola sepak di semua negara yang bernaung dengannya.

Ini bermakna Ghana boleh terlucut hak bertanding di peringkat antarabangsa selepas ini. - Reuters

Berita Harian X