Khamis, 7 Jun 2018 | 9:32am
PENGURUS England, Gareth Southgate. - Foto AFP
PENGURUS England, Gareth Southgate. - Foto AFP

Protes perkauman rugikan England

LONDON: Pengurus England, Gareth Southgate tidak akan menghentikan perlawanan semata-mata jika ada pemainnya berdepan ejekan berbentuk perkauman sewaktu Piala Dunia di Russia kerana bimbang disingkirkan daripada kejohanan itu.

Pertahanan kiri Danny Rose meminta keluarganya tidak pergi ke Russia kerana pemain Tottenham itu bimbang mereka akan menjadi mangsa.

Bagaimanapun Southgate percaya tindakan meninggalkan padang kerana protes disebabkan ejekan perkauman bukan sesuatu yang menguntungkan kerana beliau percaya England boleh menunjukkan mereka sebagai pasukan yang mempunyai kepelbagaian kaum pada kejohanan itu.

"Dalam dunia yang idealistik, orang akan berkata 'anda patut lakukannya' (meninggalkan padang) tapi hakikatnya anda mungkin disingkirkan daripada kejohanan," kata Southgate.

"Saya tidak fikir pemain akan melakukannya kerana mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk ke Piala Dunia."

Mac lalu, persatuan bola sepak Russia didenda 30,000 Swiss francs (RM120,000) oleh badan induk bola sepak dunia FIFA, susulan sorakan berunsur perkauman daripada penyokong mereka ketika perlawanan persahabatan menentang Perancis.

"Ia bukan sesuatu yang kita ingin perkatakan tapi sesuatu yang perlu kami perkatakan," kata Southgate, yang menegaskan sistem sokongan diwujudkan untuk membantu pemainnya jika berlaku insiden perkauman.

"Bagi saya impak terbesar yang mungkin kami berikan adalah interaksi antara pasukan dengan kepelbagaian kaum terbesar pernah pergi ke Piala Dunia." - AFP

Berita Harian X