Ahad, 3 Jun 2018 | 10:14pm
AKSI pemain tengah Nigeria, John Obi Mikel (kanan) dikekang pemain England pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Wembley. - Foto AFP
AKSI pemain tengah Nigeria, John Obi Mikel (kanan) dikekang pemain England pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Wembley. - Foto AFP

Nigeria perlu segera bangkit

LONDON: Kapten pasukan Nigeria, John Obi Mikel mengakui negaranya perlu meningkat dengan pantas jika mahu mencipta impak di Piala Dunia.

Skuad yang diberi jolokan Super Eagles itu tewas 1-2 kepada England pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Wembely, semalam.

Nigeria dihukum atas persembahan longlai babak pertama dengan gol daripada Gary Cahill dan Harry Kane meletakkan England di landasan kemenangan.

Pemain Arsenal, Alex Iwobi merapatkan kedudukan buat pelawat pada awal babak kedua tetapi jaringan penyamaan yang diburu gagal diperoleh sekali pun menampilkan prestasi lebih baik.

Mikel yang juga bekas pemain Chelsea sedar pasukannya perlu lebih tajam menjelang aksi di Russia jika mahu layak daripada kumpulan sukar dihuni Argentina, Iceland dan Croatia.

"Kami adalah pasukan yang amat muda dan banyak yang perlu kami pelajari. Ia bagus bagi pasukan muda ini untuk merasai apa yang akan mereka hadapi di Russia," kata Mikel.

"Kami perlu belajar bersama sebagai satu pasukan, kami perlu meningkat dan kerana itulah kami bermain menentang skuad yang berkualiti.

"Kami boleh tahu di mana tahap kami dan kini kami kembali ke latihan dan cuba untuk meningkat."

Jurulatih pasukan, Gernot Rohr bersetuju dengan kenyataan Mikel tetapi turut menyalahkan keletihan berikutan perjalanan panjang ke England selain hujan ketika latihan sebagai punca kekalahan.

"Pelajaran pertama adalah kami belum lagi bersedia. Kami perlu bekerja lebih keras dalam tempoh dua minggu ini sebelum perlawanan pertama kami," kata pengendali dari Jerman itu.

- AFP

 

 

Berita Harian X