Sabtu, 2 Jun 2018 | 2:04am
MICHAEL Fitzpatrick

Peminat Everton dipenjara lapan minggu

LONDON: Seorang peminat Everton dijatuhkan hukuman penjara selama lapan minggu selepas didapati bersalah memukul pemain Lyon sambil menggendong anak lelakinya ketika pertemuan Liga Europa di Goodison Park, pada Oktober tahun lalu. 

Michael Fitzpatrick, 30, didapati menggendong anak lelakinya berusia tiga tahun dengan tangan kirinya sambil tangan kanannya memukul pemain kelab Perancis, Lyon ketika pertembungan kedua-dua pasukan di pentas Eropah.

Fitzpatrick mengakui amat malu dengan perbuatannya sehingga polis memanggilnya bodoh selepas mahkamah yang mendengar kes berkenaan dan mendapatinya bersalah atas tuduhan melakukan serangan, pada 23 Mei lalu. 

Berikutan itu, Fitzpatrick juga diharamkan selama enam tahun daripada terbabit dengan aktiviti bola sepak akibat didapati memburukkan lagi kes serangan terbabit kerana didapati memegang anak ketika melakukan serangan. 

"Polis tidak akan bertolak ansur dengan tindakan yang mementingkan diri sendiri dan beberapa tindakan 'bodoh' yang merosakkan imej sukan bola sepak.

 

"Kami juga tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melakukan salah laku dan keganasan seperti ini," kata pegawai polis Merseyside, Superintendan Dave Charnock. 

Everton turut mengharamkan Fitzpatrick daripada memasuki Goodison Park seumur hidup. 

Fitzpatrick dikecam dan dikritik hebat netizen serta peminat sukan bola sepak dari seluruh dunia selepas video memalukan berkenaan tersebar di media sosial dan internet, pada tahun lalu.

Insiden berkenaan dikatakan berlaku pada separuh masa kedua aksi perlawanan Kumpulan E di Liverpool dengan Everton mendahului pasukan pelawat 1-0. 

Insiden pergaduhan berkenaan tercetus selepas pertahanan Everton, Ashley Williams memulakan perang mulut berikutan tindakannya menolak jatuh penjaga gol Lyon, Anthony Lopes di hadapan penyokong. - AFP

 

 

Berita Harian X