Selasa, 29 Mei 2018 | 8:20am
AKSI perlawanan persahabatan pertama antara Perancis bertemu Ireland di Stade de France, Paris, semalam. - Foto REUTERS

Giroud, Fekir bantu Perancis benam Ireland

PARIS: Olivier Giroud dan Nabil Fekir memastikan Perancis berada di landasan tepat sebelum saingan Piala Dunia dengan menewaskan Ireland 2-0 di sini, semalam.

Giroud yang juga penyerang Chelsea menjaringkan gol pembukaan di Stade de France, manakala Fekir selaku kapten Lyon - yang dikaitkan dengan perpindahan ke Liverpool - memastikan gol kedua sebelum tamat separuh masa pertama dengan bantuan penjaga gol Ireland, Colin Doyle.

Ia kemenangan selesa buat anak buah Didier Deschamps dalam perlawanan persahabatan pertama daripada tiga aksi pemanas badan sebelum menuju ke Russia.

Skuad Les Bleus  juga akan menentang Itali pada Jumaat dan Amerika Syarikat di Lyon pada 9 Jun, dengan perlawanan pembuka tirai Piala Dunia mereka menentang Australia diadakan di Kazan, 16 Jun ini.

"Perlawanan itu mungkin tidak seperti yang saya harapkan tetapi kami berjaya mengawalnya, mendahului perlawanan sebelum tamat separuh masa dan mempamerkan gaya permainan baik jadi banyak perkara yang perlu diperbaiki," kata Deschamps.


PENYERANG Perancis, Olivier Giroud meraikan kejayaan berjaya membolosi gawang Ireland pada perlawanan persahabatan di Paris, semalam. - Foto REUTERS

Kekuatan Perancis terbukti biarpun dalam cuaca hujan, guruh dan petir  dan ini bermakna mereka antara calon hebat untuk menjuarai Piala Dunia, 20 tahun selepas diadakan di laman sendiri.

Namun ujian lebih besar menanti berbanding apa yang diberikan skuad Ireland kendalian Martin O'Neill.

Pasukan pelawat bermula dengan tujuh pemain yang beraksi di Liga Perdana Inggeris musim ini tetapi gagal menguasai bola hampir sepanjang perlawanan.

Perancis pula tidak menurunkan barisan terkuat dengan penjaga gol Hugo Lloris, Paul Pogba, N'Golo Kante dan Antoine Griezmann berada di bangku simpanan.

Raphael Varane pula masih belum menyertai pasukan selepas menjuarai Liga Juara-Juara bersama Real Madrid pada hujung minggu.

Bagaimanapun Deschamps memberikan cap kelima buat Benjamin Mendy, bek kiri Manchester City yang jarang bermain selepas mengalami kecederan lutut yang serius pada permulaan kempen.

- AFP

Berita Harian X