Sabtu, 19 Mei 2018 | 5:44pm
TIMBALAN Presiden Kuantan FA, Datuk Wan Solihin Wan Hassan.
TIMBALAN Presiden Kuantan FA, Datuk Wan Solihin Wan Hassan.

Keputusan FAM tak logik: Solihin

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Kuantan FA, Datuk Wan Solihin Wan Hassan mempertikaikan keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang mengarahkan mereka membayar tunggakan gaji 24 pemain lebih RM762,000 sedangkan pasukan itu sudah digugurkan daripada Liga Malaysia (Liga-M) pada 21 April lalu.

   Beliau berkata, keputusan Jawatankuasa Status FAM yang diumumkan semalam itu seolah-olah langsung tidak mengambil kira keadaan yang dihadapi pihak pengurusan kelab terbabit.

   "FAM minta kami bayar tunggakan gaji pemain, bukan kami tak mahu bayar tapi soalnya di sini, bagaimana kami nak bayar sedangkan pasukan Kuantan FA sudah digantung. Bagaimana kami nak dapatkan duit untuk bayar?

   "Pada saya ini keputusan tak logik. Kalau kami tak bayar, mereka akan ambil tindakan, tindakan apa lagi yang mereka nak ambil jika mereka sudah gantung Kuantan FA? Jika FAM mahu bawa perkara ini ke mahkamah, kami bersedia jumpa di mahkamah," kata Wan Solihin.

   Selain Kuantan FA, Jawatankuasa Status FAM dalam mesyuarat yang berlangsung pada Isnin lalu turut memutuskan kelab PJ Rangers perlu membayar pampasan kontrak sebanyak RM120,000 kepada pemain, Abdullah Yusoff manakala Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) pula perlu melunaskan tuntutan gaji 22 pemain sejumlah RM182,000.

   Mereka diberikan tempoh selama 30 hari untuk menyelesaikan segala tuntutan bagi mengelak perkara itu dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM di bawah Artikel 67 Kod Tatatertib FAM untuk pertimbangan dan keputusan rasmi.

   Kuantan FA tidak dapat meneruskan kempen Liga Perdana musim ini selepas digugurkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) atas kesalahan kelab itu tidak turun beraksi menentang PDRM di Stadium Shah Alam pada 15 April lalu atas masalah kewangan.

   Wan Solihin berkata, kesulitan itu dapat dielakkan jika MFL boleh memberi ruang kepada mereka mendapatkan penajaan sebelum ini.

   "Kita berusaha sebelum ini untuk membayar gaji pemain dengan mendapatkan penaja baru, tapi bila kita nak tandatangani kontrak dengan penaja baru, mereka (MFL) gantung kami, jadi mana kami nak cari duit? Sekarang terpulang kepada FAM untuk ambil tindakan, bukan kami tak nak bayar tapi kami sudah tidak ada sumber kewangan lagi," jelasnya.

Berita Harian X