Jumaat, 4 Mei 2018 | 10:24pm
STEVEN Gerrard . - Foto REUTERS
STEVEN Gerrard . - Foto REUTERS

Rangers lantik Gerrard sebagai pengurus

LONDON: Glasgow Rangers hari ini memperkenalkan bekas perancang tengah Liverpool dan England, Steven Gerrard sebagai pengurus baharu mereka dengan perjanjian selama empat tahun.

Bekas pemain berusia 37 tahun itu akan menggantikan Graeme Murty yang menyandang jawatan itu secara sementara susulan pemecatan Pedro Caixinha pada Oktober lalu.

Gerrard yang meninggalkan peranannya selaku jurulatih pasukan bawah 18 tahun Liverpool, akan memulakan tugas di Ibrox pada musim panas ini.

"Satu penghormatan besar untuk mengurus Rangers," kata Gerrard dalam kenyataan yang dipetik daripada laman web kelab.

"Saya amat menghormati kelab bola sepak ini dan juga sejarah serta tradisinya.

"Saya sudah tidak sabar untuk memulakan cabaran baharu di Rangers tatkala kami melihat peluang untuk membina semula kejayaan yang pernah dicapai."

Gerrard bagaimanapun akan berdepan tugas sukar untuk menandingi penguasaan musuh tetangga Celtic dalam saingan liga Scotland.

Celtic di bawah kendalian Brendan Rodgers membelasah Rangers 5-0 dalam pertemuan Ahad lalu untuk memastikan gelaran ketujuh berturut-turut liga.

Rangers sebenarnya masih dalam proses membentuk pasukan mantap selepas dipalit masalah kewangan pada 2012 yang menyebabkan mereka diturunkan ke divisyen empat Scotland.

Dalam musim kedua di saingan utama Scotland, Rangers kini ketinggalan 13 mata di belakang Celtic untuk bertarung penamat kedua bersama Aberdeen dan Hibernian. - AFP

Berita Harian X