Rabu, 2 Mei 2018 | 6:12am
STEVEN Gerrard
STEVEN Gerrard

Gerrard sahkan perbincangan dengan Rangers 'positif'

LONDON: Steven Gerrard mengesahkan beliau akan mengadakan perbincangan lanjut dengan kelab bola sepak Rangers berikutan kekosongan jawatan pengurusan di Ibrox, Khamis ini selepas rundingan awal berlangsung 'positif.'

Rangers memecat Graeme Murty, semalam susulan kekalahan besar 0-5 ke atas musuh tradisi Celtic yang menyaksikan skuad kendalian Brendan Rodgers mengesahkan gelaran ketujuh Liga Scotland berturut-turut.

"Ada minat, ada perbincangan awal berlangsung dan rancangannya adalah untuk berjumpa dengan mereka dalam tempoh beberapa hari lagi," kata Gerrard kepada BT Sport.

Selain menjadi pengkritik bersama stesyen televisyen berkenaan, Gerrard yang juga legenda Liverpool dan England adalah jurulatih skuad bawah 18 tahun The Reds.

Gerrard akan berada di Rom, awal pagi Khamis ini bagi menyaksikan Liverpool memburu tempat ke final Liga Juara-Juara dengan kelab itu memiliki kelebihan 5-2 secara agregat ke atas Roma.

Selepas pulang ke England, bekas kapten England dan Liverpool itu merancang untuk berjumpa dengan beberapa pihak pengurusan tertinggi Rangers.

"Perbincangan yang saya peroleh dengan mereka adalah positif. Saya sibuk untuk tempoh beberapa hari ketika ini, tetapi rancangannya adalah untuk berjumpa dengan mereka pada Khamis dan lihat jika kami mampu mendapat penyelesaian."

Rangers berkata mereka berharap untuk mendedahkan perincian bagi pengganti Murty "dalam tempoh terdekat." - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X