Ahad, 29 April 2018 | 8:53pm
PENGENDALI Real Madrid, Zinedine Zidane gesa guna kelebihan mereka ketika menentang Bayern Munich bagi aksi separuh akhir kedua Liga Juara-Juara di Santiago Bernabeu, minggu depan. - Foto EPA-EFE

Zidane tagih 'bising' peminat

MADRID: Jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane menggesa peminat kelab itu supaya menggunakan 'kelantangan' mereka ketika menentang Bayern Munich bagi aksi kedua separuh akhir Liga Juara-Juara di Santiago Bernabeu, minggu depan.

Kelab gergasi Sepanyol itu ketika ini mensasarkan tempat di pentas final ketiga berturut-turut. 

Real terpaksa mengharapkan tuah di Allianz Arena dan mendahului dengan kelebihan agregat 2-1 dan Zidane menjangkakan satu lagi perlawanan sukar bakal ditempuh berdepan juara Jerman itu bagi aksi timbal balik.

"Kami perlu menghasilkan prestasi yang amat baik jadi saya meminta peminat-peminat untuk mencipta suasana lebih bising berbanding apa yang mereka pernah lakukan dalam sejarah kelab kerana kami memerlukan mereka untuk ke final," kata Zidane.

"Ia adalah perlawanan paling utama kami tahun ini dan peminat mengetahuinya. Kami mahu peminat untuk berada di belakang kami sejak dari minit pertama sehingga ke-90."

Penyandang juara itu turut menyingkirkan gergasi Jerman itu pada musim lalu di pentas suku akhir tetapi memerlukan tambahan masa untuk mara.

Mereka turut menempah detik mencemaskan pada perlawanan Eropah terakhir di laman sendiri ketika suku akhir apabila ketinggalan 0-3 kepada Juventus sebelum memperoleh penalti di saat akhir yang disempurnakan Cristiano Ronaldo untuk mara dengan agregat 4-3.

"Saya tidak tahu jika apa yang berlaku ketika menentang Juve dan Bayern akan membantu kami. Apa yang saya tahu ialah kami perlu menampilkan persembahan yang paling baik," kata Zidane.

"Tetapi kami sudah bersedia dan bertekad tinggi. Kami perlu mengharungi permainan yang tidak pernah kami lalui tahun ini, kami memerlukan tumpuan, keinginan, komitmen untuk memenangi pertarungan.

"Kami perlu melakukan segala-galanya yang kamu boleh fikir dalam bola sepak dan memberikan segala-galanya untuk mencapai objektif iaitu mara ke final." - REUTERS

Berita Harian X