Jumaat, 27 April 2018 | 10:52pm
PENGURUS Manchester United, Jose Mourinho. - Foto Reuters

Mourinho menyesal gaduh dengan Wenger

MANCHESTER: Pengurus Manchester United, Jose Mourinho mengakui menyesal dengan beberapa tingkah lakunya susulan permusuhan dengan Arsene Wenger dalam tempoh beberapa tahun ini menjelang kunjungan terakhir pengendali dari Perancis itu ke Old Trafford sebagai pengurus Arsenal.

Hubungan kedua-dua pengurus berkenaan tegang sejak Mourinho tiba sebagai pengurus Chelsea pada 2004 dan menyifatkan Arsenal ghaib tanpa sebarang kejuaraan.

Mourinho juga pernah menggelar Wenger sebagai 'pakar kegagalan' manakala pada awal pertikaman lidah mereka pada 2005, Wenger memberi reaksi dengan memanggil rakan sejawatnya itu bodoh dan terputus dengan realiti sebenar.

Pada Oktober 2014, kedua-duanya terbabit dengan pergaduhan di tepi padang yang menyaksikan mereka hampir bercakaran dalam perlawanan membabitkan Arsenal menentang Chelsea - salah satu tingkah laku yang disesali Mourinho.

"Menyesal? Ya, disebabkan beberapa tingkah laku negatif yang saya lakukan, saya fikir dia turut berasa begitu.

"Ada beberapa perkara yang tidak sepatutnya berlaku seperti beberapa perkataan dikeluarkan dan lebih baik tidak berlaku. Saya berasa lebih baik sekarang.

"Namun, sekali lagi saya ingin tegaskan, ketika saya tiba di England pada 2004, Arsenal menjadi juara, dan saya tiba beberapa tahun selepas bersama mereka - Bergkamp, ​​Thierry, Campbell, pasukan yang hebat. Terima kasih banyak untuk itu, mereka membuatkan kami memaksa diri melebihi had kemampuan," katanya.

Mourinho, berkata dia berharap penyokong United yang sentiasa tidak melayan Wenger dengan rasa hormat akan memberikan ucapan selamat tinggal yang baik pada perlawanan Ahad ini. - AFP

Berita Harian X