Rabu, 25 April 2018 | 7:50am
PENGENDALI AS Roma, Eusebio Di Francesco pada aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara di Anfield, awal pagi tadi. - Foto AFP
PENGENDALI AS Roma, Eusebio Di Francesco pada aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara di Anfield, awal pagi tadi. - Foto AFP

Yakin Roma cipta 'keajaiban'- Di Francesco

LIVERPOOL: Pengendali AS Roma, Eusebio Di Francesco berkata skuad bimbingannya 'bingung' susulan kekalahan 2-5 kepada Liverpool pada aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara di Anfield, awal pagi tadi.

Begitupun, beliau tetap mempertahankan betapa pasukannya masih berpeluang ke final tetapi menambah mereka perlu yakin mampu mengubah situasi berkenaan.

"Kami memperoleh permulaan yang bagus tetapi kami kemudian bingung dan hilang kemampuan untuk kekal dalam perlawanan sekali gus membawa diri kami ke dalam kesukaran," kata Di Francesco.

"Kami tidak beraksi dengan cukup baik sepanjang 50 minit pertama permainan dan kami gagal melakukan cabaran dan perebutan bola malah langsung tidak boleh melakukan hantaran mudah dalam jarak lima kaki."

Tetapi dua gol dalam tempoh sembilan minit di penghujung permainan menerusi Edin Dzeko dan penalti Diego Perotti memberikan Roma harapan untuk melakukan kebangkitan di Stadium Olimpik, minggu depan.

Roma sebelum ini pernah melakukan kebangkitan menakjubkan apabila tewas 1-4 kepada Barcelona pada aksi suku akhir pertama tetapi mara selepas melakar kemenangan 3-0 di laman sendiri.

Malah, Roma tidak pernah melepaskan sebarang gol dalam kempen Eropah di Stadium Olimpik, musim ini.

"Kami perlu percaya bagi aksi timbal balik. Kami perlu percaya kerana dalam bola sepak apa saja boleh berlaku, sekali pun ia tidak mudah," kata Di Francesco.

"Saya tidak ingin mendengar mengenai 'keajaiban' kerana kami percaya dengan kerja kami dan apa kami lakukan. Ia akan menjadi perlawanan yang berbeza berbanding ketika bertemu Barcelona, ia akan lebih sukar.

"Tetapi buat sesiapa yang tidak mempercayainya, mereka perlu duduk di dalam rumah." - AFP

Berita Harian X