Selasa, 24 April 2018 | 1:30pm
BEKAS jurulatih Kuantan FA, Ismail Zakaria mendedahkan kebanyakan daripada bekas pemain Kuantan FA sudah mendapatkan pasukan baharu.
BEKAS jurulatih Kuantan FA, Ismail Zakaria mendedahkan kebanyakan daripada bekas pemain Kuantan FA sudah mendapatkan pasukan baharu.

Pemain Kuantan FA 'lari' ke Piala FAM

KUALA LUMPUR: Lebih separuh bekas pemain Kuantan FA sudah mendapatkan pasukan baharu selepas The Seagulls disingkirkan daripada Liga Perdana, Sabtu lalu.

Bekas jurulatih Kuantan FA, Ismail Zakaria mendedahkan kebanyakan daripada mereka menyertai beberapa pasukan yang bersaing dalam Piala FAM kerana jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) masih belum dibuka.

Ismail bagaimanapun menjelaskan ia sebagai petanda positif buat bekas anak buahnya yang berdepan masalah tunggakan gaji ketika mewakili Kuantan FA.

Malah, beliau tidak menolak kemungkinan akan mengintai peluang untuk membimbing pasukan lain jika khidmatnya diperlukan.

"Boleh dikatakan lebih separuh sudah ada pasukan. Sebenarnya tindakan MFL dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyingkirkan Kuantan FA satu langkah yang baik kerana pemain boleh cari pasukan lain.

"Sebelum disingkirkan, 10 pemain sudah tinggalkan Kuantan FA dan hanya tinggal 15 pemain dalam pasukan. Sekarang ini, saya difahamkan lebih separuh pemain sudah ada pasukan baharu dan kebanyakannya beraksi dalam Piala FAM.

"Tiada masalah beraksi dalam Piala FAM, itu langkah terbaik bagi pemain. Apa yang penting mereka dapat 'cari makan' dan meneruskan kerjaya sebagai pemain bola sepak," katanya ketika hubungi, hari ini.

Sukan NSTP semalam melaporkan ejen pemain, Effendi Jagan Abdullah mengesahkan pemain Kuantan FA boleh membatalkan kontrak bersama pasukan itu dan mencari pasukan baharu selepas The Seagulls disingkirkan dari Liga M selain berdepan masalah tunggakan gaji yang serius.

Sabtu lalu, MFL membatalkan penyertaan Kuantan FA dalam Liga Perdana serta merta selepas melakukan kesalahan besar tidak hadir ke Stadium Shah Alam pada 15 April lalu yang menyaksikan kemenangan percuma 3-0 diberikan kepada PDRM.

Selain itu, Ismail turut berharap nasib malang yang menimpa beliau dan bekas pemain Kuantan FA tidak berulang kepada pasukan lain dalam Liga M pada musim akan datang.

"Memang ia patut menjadi iktibar kepada pasukan lain kerana ia memberi kesan yang mendalam kepada saya dan pemain apabila tidak mendapat gaji.

"Satu lagi saya nampak berlaku penderaan mental, bila gaji tak dapat tiga atau empat bulan. Banyak benda yang kami perlu bayar termasuk rumah, kereta dan menyara keluarga.

"Walaupun MFL singkirkan pasukan, ia satu langkah yang cukup baik walaupun terkena batang hidung saya sendiri," katanya.

Berita Harian X