Selasa, 24 April 2018 | 9:50am
PENJAGA gol City, Ederson (kiri) bertekad dia dan rakan sepasukannya berusaha untuk mencipta rekod baharu kelab dalam tempoh semusim.
PENJAGA gol City, Ederson (kiri) bertekad dia dan rakan sepasukannya berusaha untuk mencipta rekod baharu kelab dalam tempoh semusim.

City buru pecah rekod liga

LONDON: Penjaga gol, Ederson mencabar Manchester City untuk melengkapkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dengan catatan rekod.

Skuad kendalian Pep Guardiola pada Ahad lalu membelasah Swansea City 5-0 dalam perlawanan pertama mereka selepas dinobatkan kejuaraan liga musim ini.

City mungkin sudah mengesahkan trofi di kabinet mereka tetapi Ederson yang juga penjaga gol kebangsaan Brazil bertekad dia dan rakan sepasukannya tidak akan 'berehat' tatkala peluang untuk mencipta rekod baharu sedang terbentang.

Juara baharu Inggeris itu boleh memperbaharui rekod meraih kemenangan terbanyak, jaringan terbanyak dan jumlah catatan mata terbanyak dalam tempoh semusim.

"Maknanya cukup besar (untuk memperbaharui rekod)," kata Ederson.

"Jika kamu mengakhiri musim sebagai juara dan lebih daripada itu, memecahkan beberapa rekod, kami akan mencipta sejarah sebagai kelab dan juga sebagai pemain.

"Saya berharap kami boleh memecahkan kesemua rekod itu. Kami mampu melakukannya. Saya fikir jika kami mampu untuk mengekalkan tahap permainan seperti kami lakukan sepanjang musim, kami akan lakukannya."

City setakat ini sudah memenangi 29 perlawanan liga, menjaringkan 98 gol dan mengumpul 90 mata.

Rekod ketika ini - yang kesemuanya dipegang oleh Chelsea - ialah 30 kemenangan, 103 gol dan 95 mata.

MANCHESTER City setakat ini sudah memenangi 29 perlawanan liga, menjaringkan 98 gol dan mengumpul 90 mata. - Foto AFP
MANCHESTER City setakat ini sudah memenangi 29 perlawanan liga, menjaringkan 98 gol dan mengumpul 90 mata. - Foto AFP

Selain itu, City turut berpeluang mencipta rekod baharu bagi jurang mata yang besar selaku juara di EPL selepas mereka ketika ini dibezakan 16 mata dengan pasukan tangga kedua, Manchester United dengan rekod sedia ada adalah 18 mata.

Satu rekod sudah pun dicipta oleh City pada musim ini iaitu memenangi 18 perlawanan liga berturut-turut.

Sementara itu, menurut laporan, kelab itu tidak akan dikenakan tindakan susulan pencerobohan padang oleh ribuan peminat ketika kemenangan ke atas Swansea. - AFP

Berita Harian X