Khamis, 12 April 2018 | 11:40am
PEMAIN-pemain Juventus membuat bantahan berhubung insiden penalti yang menyaksikan penjaga gol, Gianluigi Buffon (dua dari kiri) dilayangkan kad merah oleh pengadil. - Foto EPA

Bos Juventus cadang UEFA guna VAR

MADRID: Presiden Juventus, Andrea Agnelli berharap teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) dapat digunakan di Liga Juara-Juara selepas pasukannya disingkirkan Real Madrid menerusi jaringan penalti kontroversi pada minit akhir yang menjadi pertikaian ketika aksi suku akhir kedua, awal pagi tadi.

Cristiano Ronaldo meledak gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-98 selepas Mehdi Benatia didakwa mengasari Lucas Vazquez, sekali gus memberikan Real yang juga juara Eropah dua kali berturut-turut kemenangan menerusi agregat 4-3.

Pemain-pemain Juventus membuat bantahan berhubung insiden berkenaan yang menyaksikan penjaga gol merangkap kapten, Gianluigi Buffon dilayangkan kad merah oleh pengadil Michael Oliver.

LUCAS Vazquez (tengah) dikasari pertahanan Juventus, Medhi Benatia (kiri) sekali gus menghadiahkan penalti yang kontroversi buat Real. - Foto AFP

"Pegawai garisan gol di bahagian tepi tidak sama seperti ulang tayang video," kata Agnelli kepada pemberita.

"Jika UEFA (Kesatuan Bolasepak Eropah) belum bersedia, mereka perlu memberikan latihan secepat mungkin, hanya digunakan dalam Serie A, selain Jerman, Portugal dan beberapa liga lain.

"Ia bukan mengenai satu atau dua insiden, tetapi untuk masa depan dalam kejohanan besar yang berprestij. Kita tidak boleh membenarkan insiden ini berlaku."

Teknologi VAR sudah diuji dalam Serie A musim ini, selain Bundesliga dan beberapa kejohanan domestik England serta bakal digunakan pada pusingan akhir Piala Dunia.

JARINGAN Leroy Sane (tengah) dibatalkan kerana ofsaid pada aksi City bertemu Liverpool pada aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara. - Foto REUTERS

Kekurangan penggunaan teknologi dalam Liga Juara-Juara juga menjadi tumpuan ketika Manchester City tewas 2-1 kepada Liverpool, semalam apabila jaringan Leroy Sane dibatalkan kerana ofsaid.

"Pemain membuat kesilapan, begitu juga dengan pengadil, tetapi dia hilang kawalan terhadap situasi ini," tambah Agnelli.

Sementara itu, penyerang Real, Vazquez berkata dia memahami kekecewaan yang dialami Juventus tetapi percaya keputusan yang dibuat adalah tepat.

"Ia perkara biasa, berlaku dalam minit terakhir, tapi ia memang penalti," katanya.

"Cristiano menghantar bola kepada saya dan ketika saya mahu melakukan rembatan, pemain pertahanan datang dari belakang dan melakukan kekasaran." - Reuters

Berita Harian X