LAUSANNE: Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) memulakan prosiding disiplin berhubung serangan ke atas bas pasukan Manchester City sebelum aksi Liga Juara-Juara bertemu Liverpool, awal pagi tadi.
Beberapa objek dibaling ke arah bas itu sejurus pasukan Manchester City tiba di Anfield pada perlawanan yang dimenangi Liverpool 3-0.
UEFA menegaskan mereka akan menyiasat insiden bunga api yang dinyalakan, objek yang dibaling, kerosakan yang dilakukan serta kekecohan yang tercetus.
"Tuduhan yang dikenakan adalah kerana tindakan melakukan kerosakan dan kekecohan insiden membabitkan bas pasukan Manchester City," kata badan induk itu dalam satu kenyataan.
Kes itu akan dikendalikan oleh badan kawalan, etika dan disiplin UEFA pada 31 Mei depan.