Rabu, 21 March 2018 | 6:02pm
ANAK bekas penjaga gol skuad Olimpik 1972, Wong Kam Fook, Wong Tse Yang (tengah) yang kini beraksi di liga utama Hong Kong. - Foto E-mel
ANAK bekas penjaga gol skuad Olimpik 1972, Wong Kam Fook, Wong Tse Yang (tengah) yang kini beraksi di liga utama Hong Kong. - Foto E-mel

Tse Yang pasang impian sertai Liga M

KUALA LUMPUR: Mungkin ramai tidak tahu, bekas penjaga gol skuad Olimpik 1972, Wong Kam Fook memiliki seorang anak yang berbakat besar dalam bidang bola sepak, Wong Tse Yang yang kini beraksi di liga utama Hong Kong, HKSL BC Rangers.

Ibarat pepatah lama `ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi',  ia sekali gus membayangkan bahawa anak legenda itu berada pada prestasi terbaik yang kini bersedia untuk kembali ke Malaysia sekali gus membantu pasukan negara. 

Memiliki ketinggian 189 sentimeter yang hampir sama dengan beberapa penjaga gol ternama dunia seperti David de Gea dan Ederson, pastinya kelebihan itu membawa kelebihan buat Tse Yang untuk mengawal gawangnya daripada dibolosi.

Menurut Kam Fook, anaknya memasang impian untuk berkelana bermain di Liga Malaysia (Liga-M) selepas mengikuti rapat perubahan yang berlaku di liga tempatan di bawah kepimpinan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim. 

"Biarpun keluarga saya kini menetap di Hong Kong, kami anak beranak sentiasa mengikuti rapat perkembangan bola sepak Harimau Malaya dan Liga-M," katanya yang muncul antara pemain Malaysia terawal yang beraksi di luar negara dari 1972 hingga 1984.

"Walaupun dia (Tse Yang) lahir di China, memang hasratnya untuk menabur bakti buat pasukan Harimau Malaya dan mengikut jejak saya ketika membantu Malaysia beraksi di Sukan Olimpik.

"Ketika dia berusia 19 tahun pada 2011 lalu, saya pernah membawanya pulang dan bermain untuk pasukan Perak China dalam pertandingan Piala FA China. Tetapi pada masa itu tiada pasukan yang nampak bakatnya.

"Selepas itu kami balik ke Hong Kong dan saya memutuskan untuk melatihnya sendiri. Sekarang permainannya semakin matang dan dia banyak mendapat tawaran di sini (Hong Kong).

"Namun disebabkan rasa ingin mencuba suasana baharu dengan melebarkan sayap ke liga luar, dia mahu mencuba nasib di Malaysia. Kalau ada peluang, sudah tentu saya mahu melihat dia bermain untuk skuad kebangsaan," kata Kam Fook.

Berita Harian X